SAYA sebagai bekas penggerak pengguna, percaya sudah tiba masanya untuk memberi penekanan lebih serius terhadap pendidikan keselamatan elektrik kepada pengguna.
Dalam era moden yang dipenuhi peranti elektronik, pendedahan terhadap risiko elektrik semakin meningkat. Justeru, pengguna perlu didedahkan kepada pemahaman asas elektrik serta langkah keselamatan untuk mengelakkan kemalangan yang boleh membawa kecederaan atau kematian.
Amat penting untuk memahami tentang kepentingan elektrik agar ia dapat digunakan secara bermanfaat.
Elektrik merupakan sumber tenaga utama dalam kehidupan seharian. Daripada menghidupkan lampu, menggunakan kipas, mengecas telefon sehingga mengendalikan komputer, semuanya memerlukan tenaga elektrik. Apabila pelajar memahami bagaimana elektrik berfungsi, mereka bukan sahaja lebih menghargai kepentingan teknologi, malah mampu lebih berhati-hati ketika mengendalikan peralatan harian.
Untuk tujuan pendidikan, pendekatan pembelajaran interaktif amat digalakkan. Contohnya, penggunaan model litar mudah melibatkan bateri, wayar dan mentol dapat membantu pelajar memahami aliran arus elektrik dengan lebih jelas dan menyeronokkan.
Ramai kanak-kanak tidak menyedari potensi bahaya yang wujud di sekeliling mereka. Beberapa situasi berbahaya yang sering berlaku termasuk:
• Menyentuh peralatan elektrik dengan tangan basah
• Menggunakan peralatan elektrik berhampiran air
• Memain atau mengusik soket
• Menggunakan kabel rosak atau soket terlebih muatan
Pendedahan kepada contoh situasi sebenar tanpa memaparkan adegan ngeri dapat meningkatkan kesedaran pelajar terhadap risiko yang wujud.
Misalnya, menceritakan kejadian percikan api akibat wayar rosak atau insiden seseorang tersengat elektrik kerana menyentuh suis dengan tangan basah.-UTUSAN
NK SHERGILL
Mantin, Negeri Sembilan










