TEGURAN di tempat kerja sememangnya bentuk komunikasi yang penting untuk membina pasukan lebih baik, meningkatkan mutu kerja dan memperbaiki kesilapan yang mungkin berlaku.
Namun begitu, ada ketikanya cara teguran itu disampaikan menjadi isu bukan kerana seseorang itu enggan ditegur tetapi kerana dilakukan dengan tidak berhemah dan tidak kena pada tempatnya.
Dalam budaya kerja profesional, prinsip asas seperti menghormati maruah dan ruang peribadi wajar dijadikan panduan utama. Menegur secara terbuka di hadapan rakan sekerja atau pelanggan bukan sahaja menjatuhkan air muka individu, malah boleh menyebabkan tekanan emosi dan merosakkan semangat kerja.
Situasi ini berpotensi menimbulkan konflik, rasa tidak puas hati, bahkan menyumbang kepada persekitaran kerja yang toksik.
Manakala bagi kritikan dan teguran yang tidak membina serta disampaikan tanpa hemah bukan sahaja gagal memperbaiki keadaan, malah boleh merosakkan hubungan di tempat kerja.
Apabila seseorang ditegur secara kasar, sindiran atau penuh emosi, ia tidak memberi ruang kepada refleksi atau penambahbaikan. Sebaliknya, mencetuskan rasa kecewa, menjatuhkan semangat dan membina tembok ketidakpercayaan antara rakan sekerja.
Lebih membimbangkan, rasa hormat yang selama ini terjalin boleh terhakis, bukan kerana menolak kerja atau tanggungjawab tetapi kerana kita mula hilang percaya kepada keikhlasan manusia di sekeliling.
Teguran yang tidak kena pada tempat, waktu dan cara bukan boleh mencetuskan konflik dalaman yang menjejaskan kesejahteraan mental dan motivasi untuk terus memberi yang terbaik.
Kajian Well‑being@Work (2025) mendapati tahap kesejahteraan pekerja di Malaysia turun kepada 62 peratus, manakala risiko psikososial, termasuk tekanan dan kecuapan emosi meningkat kepada 40 peratus.
Justeru, bagi membantu meningkatkan kesejahteraan pekerja terutama kesihatan mental, semua pihak perlu berganding bahu mewujudkan suasana kerja yang harmoni, disulam dengan komunikasi berhemah dan empati yang tinggi.
Setiap individu berhak ditegur tetapi setiap teguran harus disampaikan dengan niat mendidik, bukan menghukum. Barulah organisasi boleh tumbuh bersama dengan semangat, bukan tekanan.
Teguran yang membina perlu disampaikan dengan niat yang jelas untuk membantu, bukan untuk memperlekeh. Ia harus disertakan dengan cadangan penyelesaian, menggunakan bahasa yang beradab dan nada yang profesional.
Pemimpin yang baik tahu memilih waktu, tempat dan pendekatan yang paling sesuai. Ruang tertutup, perbualan peribadi dan nada yang tenang sering kali lebih berkesan daripada teguran yang lantang di khalayak ramai.
Selain teguran, memberi arahan kepada pekerja juga perlu disertai dengan adab bagi mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan saling menghormati. Arahan yang diberi hendaklah disampaikan dengan jelas, sopan dan profesional, tanpa nada merendahkan atau memperlekehkan pekerja.
Kesesuaian masa dan beban kerja semasa pekerja juga perlu diambil kira, agar arahan tidak menjadi tekanan yang tidak perlu. Memberi penjelasan tujuan dan kepentingan tugas juga membantu pekerja memahami tanggungjawab mereka dengan lebih baik.
Dalam konteks ini, organisasi juga memainkan peranan penting dalam membudayakan komunikasi dua hala yang sihat. Komunikasi terbuka antara pengurusan dan staf, kepimpinan yang menyokong dan inspiratif, persekitaran kerja yang positif dan menyenangkan mampu membuatkan pekerja kekal bermotivasi dan setia kepada organisasi.
Kesemua elemen ini jika dilaksanakan akan mewujudkan suasana kerja yang kondusif, harmoni dan penuh semangat, sekali gus memberi impak positif kepada keseluruhan prestasi organisasi.-UTUSAN
SURIAYATI BAHAROM
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










