TERLEBIH dahulu tahniah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang menerima peruntukkan tertinggi RM66.2 bilion dalam Belanjawan 2026 , dibentangkan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 10 Oktober lalu.
Dari jumlah tersebut sebanyak RM2 billion diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf sekolah daif dan menyelenggara semua jenis sekolah.
Semoga dengan peruntukkan ini tiada lagi kantin terutama di sekolah luar bandar yang uzur menunggu masa runtuh akibat dimakan anai-anai.
Pejabat Daerah Pendidikan (PPD) perlu mendapatkan data dan laporan lengkap kantin uzur di kawasan masing-masing supaya peruntukkan dapat disalurkan dengan telus. Diharapkan tiada lagi kantin sekolah yang uzur setelah peruntukkan ini disalurkan.
Kita masih ingat sewaktu peruntukkan besar-besaran bagi tujuan membaiki tandas sekolah seluruh negara. Alhamdulillah, hari ini tandas bukan lagi menjadi masalah besar di sekolah-sekolah seluruh negara.
Tahniah juga kepada 5.2 juta murid sekolah kerajaan yang akan menerima Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 dengan peruntukkan sebanyak RM800 juta.
Apa yang menariknya, ibu bapa diminta hadir sendiri ke sekolah untuk menerima wang tersebut. Ini dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dengan guru-guru di sekolah. Secara tak langsung juga ibu bapa boleh mengetahui perkembangan sekolah anak-anak mereka.
Dalam Belanjawan 2026, Bantuan Am Persekolahan diberikan sehingga ke tingkatan lima bukan seperti sebelumnya sehingga tingkatan tiga sahaja dan hanya untuk murid miskin yang layak dengan jumlah RM180 juta.
Semoga peruntukkan besar kerajaan akan merangsang pendidikan ke arah yang lebih cemerlang.-UTUSAN
CIKGU PENCEN
Jerantut, Pahang










