PEMBENTANGAN Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu memberi harapan baharu kepada industri Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Bertemakan Memacu Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, belanjawan ini memperuntukkan RM7.9 bilion bagi memperkasakan TVET di universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan lain.
Peruntukan besar ini dijangka memberi impak tinggi dalam memperluas peluang pembelajaran dan latihan kemahiran terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Dana ini disalurkan secara menyeluruh untuk merancakkan industri TVET. Majlis TVET Negara menerima RM45 juta bagi Latihan Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok melalui program IPT@Komuniti. Institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima RM1.3 bilion untuk menampung 79,000 pelajar di seluruh negara, manakala HRD Corp memperoleh RM3 bilion bagi menyediakan 3 juta peluang latihan dalam sektor teknologi tinggi, digital dan tenaga hijau.
Selain itu, RM650 juta diperuntukkan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk melatih 25,000 pelatih dalam bidang AI, EV dan semikonduktor, sementara GIATMARA menawarkan latihan kepada 13,000 peserta termasuk pekerja gig dan golongan tumpuan.
Manfaat turut dinikmati Jabatan Pembangunan Kemahiran, dengan RM34 juta melalui Program Akademi dalam Industri untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah.
Kolej Komuniti pula akan memanfaatkan dana untuk menyediakan program pembelajaran sepanjang hayat bagi Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan orang asli, termasuk kursus sepenuh masa, kursus pendek dan latihan keusahawanan.
Pendekatan ini selari dengan peranan Kolej Komuniti sebagai penyedia pendidikan TVET berimpak setempat.
Belanjawan 2026 memberi nafas baharu kepada penggiat TVET untuk meningkatkan daya saing, kapasiti kemahiran teknikal dan vokasional, serta peluang pekerjaan. Langkah ini turut mengangkat TVET sebagai laluan kerjaya utama, bukan lagi dianggap kelas kedua, melalui kolaborasi bersepadu antara pelbagai institusi dalam dan luar negara.-UTUSAN
DR. NUR AISHAH ZAINAL
Pegawai Perhubungan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kolej Komuniti Jasin, Melaka










