AI boleh digunakan untuk perniagaan kecil-kecilan

AI boleh digunakan untuk perniagaan kecil-kecilan

LANGKAH terbaik bagi pemilik perniagaan kecil yang ingin meneroka teknologi kecerdasan buatan ialah bermula secara kecil-kecilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM ekonomi yang bergerak pantas hari ini, perniagaan kecil di Malaysia sentiasa berusaha untuk kekal berdaya saing dan mengurangkan kos operasi.

Antara alat yang mengubah landskap perniagaan ialah kecerdasan buatan (AI). Walaupun AI menawarkan peluang menarik untuk meningkatkan kecekapan dan pertumbuhan, usahawan juga perlu sedar risiko yang datang bersamanya.

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang lebih daripada 97 peratus jumlah perniagaan di Malaysia, memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan berjuta-juta peluang pekerjaan.

Dengan sumber yang terhad, AI boleh membantu perniagaan kecil dengan ‘melakukan lebih banyak dengan sumber yang sedikit.’

Sebagai contoh, AI boleh mengautomasikan tugasan harian seperti penjadualan mesyuarat, membalas e-mel, mengurus stok atau meringkaskan minit mesyuarat serta membolehkan pemilik perniagaan memberi tumpuan kepada strategi dan pembangunan perniagaan.

AI juga boleh membantu dalam membuat keputusan dengan menganalisis data serta mengenal pasti corak, jurang atau peluang yang tidak mudah dilihat.

AI dapat meningkatkan perkhidmatan pelanggan melalui penggunaan chatbot, balasan automatik dan kempen pemasaran yang diperibadikan. Dalam aspek keselamatan, alat berasaskan AI mampu mengesan dan bertindak balas terhadap ancaman dengan lebih pantas berbanding sistem tradisional.

Dalam sektor logistik, AI ramalan boleh menjangka kelewatan penghantaran atau kerosakan peralatan, membolehkan syarikat bertindak sebelum masalah berlaku. Kajian menunjukkan semakin ramai pekerja dan syarikat di Malaysia sudah mula menggunakan aplikasi AI dalam kerja harian mereka.

Di sebalik pelbagai manfaat tersebut, penggunaan AI juga membawa risiko tertentu. Kebimbangan utama ialah hak harta intelek. Oleh sebab sistem AI banyak bergantung kepada maklumat dari internet, ia kadangkala boleh menghasilkan kandungan yang secara tidak sengaja melanggar hak cipta atau tanda dagangan.

Risiko lain ialah keselamatan data. Alat AI percuma atau kos rendah mungkin tidak mempunyai perlindungan yang kukuh dan maklumat sensitif syarikat boleh terdedah atau disalahgunakan. Para pemilik perniagaan juga perlu berwaspada terhadap kempen penipuan yang dihasilkan melalui AI kerana mesejnya sering kelihatan lebih meyakinkan dan sukar dikesan.

Isu kepercayaan pelanggan turut perlu diberi perhatian. Pelanggan kini semakin bijak dan mungkin dapat mengesan kandungan yang dijana oleh AI, menyebabkan komunikasi kelihatan tidak tulen. Oleh itu, semua bahan yang dihasilkan oleh AI wajar disemak sebelum dihantar.

Aspek etika dan ketelusan juga perlu diberi perhatian. Walaupun Malaysia belum mewajibkan perniagaan untuk mendedahkan penggunaan AI, langkah ini kini dianggap amalan terbaik untuk mengekalkan kepercayaan pelanggan dan imej perniagaan yang positif.

Bagi pemilik perniagaan kecil yang ingin meneroka teknologi ini, langkah terbaik ialah bermula secara kecil-kecilan. Pilih tugasan mudah seperti mengurus janji temu atau menjana kandungan media sosial dan menguji bagaimana AI boleh meningkatkan kecekapan kerja.

Sentiasa semak hasil kerja untuk memastikan ketepatan, etika dan keselarasan dengan nilai jenama. AI bukanlah penyelesaian ajaib dan tuntas, namun dengan penggunaan yang berhati-hati dan bertanggungjawab, ia boleh menjadi rakan strategik yang membantu perniagaan kecil di Malaysia berkembang dengan lebih pintar, cekap dan mampan.-UTUSAN

 

AHMAD NIZAM CHE KASIM & PROFESOR MADYA DR. WAN SALIHA YUSOFF
Fakulti Perniagaan & Komunikasi,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×