Adab mendahului ilmu

Adab mendahului ilmu

RUANG siber kini sering disalahgunakan untuk menghina, menjatuhkan dan membuli orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ADAB mendahului ilmu.” Ungkapan ringkas ini mengandungi makna begitu mendalam. Namun, dalam arus kemajuan teknologi dan dunia digital, makna di sebaliknya kian pudar.

Nilai adab yang suatu ketika dahulu menjadi tunjang pembentukan insan dan peradaban bangsa, semakin terhakis.

Fenomena buli, penghinaan di media sosial serta sikap tidak hormat antara pelajar semakin membimbangkan. Ia bukan sekadar masalah disiplin tetapi cerminan keruntuhan nilai murni dan kehilangan budi pekerti dalam kalangan generasi muda.

Buli bukan hanya bermaksud kekerasan fizikal semata-mata. Ia boleh hadir dalam pelbagai bentuk ejekan, pengasingan sosial, penyebaran aib di media sosial, malah tekanan emosi yang berpanjangan.

Puncanya bukan sekadar kelemahan kawalan disiplin tetapi kehilangan adab dan empati. Pelajar yang beradab tahu menghormati orang lain serta sedar setiap manusia mempunyai maruah yang wajib dijaga.

Namun apabila adab mula terhakis, sifat belas ihsan turut terpadam. Lebih menyedihkan apabila insiden buli dirakam dan disebar untuk tontonan umum, seolah-olah penderitaan orang lain menjadi bahan hiburan.

Sistem pendidikan hari ini lebih menekankan pencapaian akademik berbanding pembentukan peribadi. Guru berdepan cabaran luar biasa mendidik bukan sahaja tentang ilmu dan kemahiran tetapi juga menanam budi pekerti dalam dunia yang dikelilingi budaya tular dan ‘suka’.

Pendidikan tanpa adab hanya akan melahirkan generasi cerdik pandai yang kosong jiwa. Di sinilah peranan sekolah, universiti, ibu bapa dan masyarakat untuk mengembalikan roh pendidikan yang sebenar. Adab tidak boleh diajar dengan kata-kata tetapi mesti diterjemah melalui teladan.

Di alam maya, kata-kata mampu menjadi senjata yang melukakan. Ruang siber yang sepatutnya menjadi wadah ilmu dan perkongsian positif disalahguna untuk menjatuhkan, menghina dan membuli.

Lebih membimbangkan, ramai remaja menganggap perbuatan mengejek atau mempermainkan orang lain sebagai ‘gurauan’. Inilah tanda jelas budaya kasar dinormalisasikan.

Etika berkomunikasi, menghormati pandangan orang lain dan mengawal emosi ketika berinteraksi dalam talian adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial yang harus dipupuk sejak kecil.

Masalah buli tidak akan selesai hanya dengan hukuman. Ia memerlukan perubahan jiwa dan kesedaran nilai yang mendalam. Pelajar harus difahamkan menjadi manusia beradab adalah tanda kecerdikan sebenar bukan berapa tinggi pencapaian akademik atau berapa ramai pengikut di media sosial.-UTUSAN

ROZITA BINTI ALIAS @ ABDUL LATIFF
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN