Perubahan berani demi sekolah lebih selamat

Perubahan berani demi sekolah lebih selamat

LANGKAH pencegahan yang lebih tegas harus diperkenalkan memandangkan undang-undang disiplin sekolah atau kempen kesedaran tidak menoktahkan kes buli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES buli di sekolah dan institusi pendidikan tinggi (IPT) semakin membimbangkan apabila saban tahun ada sahaja insiden baharu dilaporkan.

Ada mangsa yang mengalami kecederaan fizikal, tidak kurang juga yang terkesan dari sudut emosi hingga menjejaskan masa hadapan. Lebih menyedihkan, ada kes yang berakhir dengan tragedi. Fenomena ini menunjukkan isu buli seolah-olah tiada kesudahan meskipun pelbagai usaha dilakukan.

Sehubungan itu, perubahan pendekatan dalam menangani masalah buli perlu segera dilaksanakan. Tidak cukup sekadar bergantung pada undang-undang disiplin sekolah atau kempen kesedaran, langkah pencegahan yang lebih tegas harus diperkenalkan.

Antaranya dengan menempatkan anggota polis atau pengawal keselamatan di sekolah serta asrama. Kehadiran pihak berkuasa bukan sahaja mampu memberi rasa selamat kepada pelajar, malah dapat mengurangkan peluang pelaku buli untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Namun begitu, langkah kawalan fizikal ini sahaja masih tidak mencukupi. Ia perlu diperkasakan dengan pendekatan berbentuk nilai dan kesedaran. Antara cadangan yang boleh dipraktikkan ialah dengan memaparkan kenyataan berbentuk janji moral di setiap pintu masuk sekolah, asrama atau bangunan utama.

Misalnya dengan slogan “Kami berjanji untuk sentiasa memelihara dan menambah baik hubungan sesama manusia dari semasa ke semasa.” Ungkapan ini boleh dijadikan ikrar harian warga sekolah, sekali gus menyemai rasa tanggungjawab serta empati dalam diri setiap pelajar.

Selain itu, guru, ibu bapa dan masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam membendung isu buli. Pendidikan tentang hormat-menghormati, nilai kemanusiaan dan keterbukaan untuk melaporkan kes buli mesti diterapkan sejak awal.

Isu buli bukan masalah kecil dan tidak boleh dipandang remeh. Ia menuntut tindakan segera, sistematik dan konsisten. Jika perubahan berani dilakukan, maka budaya buli yang sudah sekian lama membelenggu dunia pendidikan dapat dihentikan, sekali gus menjadikan sekolah sebagai tempat yang benar-benar selamat untuk semua pelajar.-UTUSAN

TEROPONG JAUH
Jerantut, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×