ALAM semula jadi di Ulu Geroh, Perak menyimpan dua tarikan utama yang menjadikannya unik di persada ekopelancongan Malaysia. Keindahan bunga pakma (Rafflesia cantleyi) dan keanggunan Rama-rama Rajah Brooke (Trogonoptera brookiana) bukan sahaja memukau pandangan, malah memberi nilai istimewa kepada komuniti Orang Asli Semai yang menetap di kawasan Hutan Simpan Ulu Geroh.
Keunikan dua spesies ini, ditambah dengan aktiviti rekreasi seperti merentas hutan, menyusuri jeram serta menikmati kejernihan Sungai Geroh, menjadikan kawasan ini destinasi pilihan pencinta alam.
Kegiatan ekopelancongan yang kian berkembang turut membuka peluang pekerjaan dan ekonomi baharu kepada masyarakat setempat. Kaum Semai, misalnya, bukan sahaja menjadi pemandu pelancong, malah terlibat dalam penyediaan perkhidmatan berkaitan pelancongan serta pemantauan kawasan hutan demi kelestarian alam.
Antara aktiviti paling mencabar ialah menyusuri jeram. Aktiviti ini memerlukan keberanian, keyakinan dan kemahiran teknikal kerana bergantung kepada keadaan sungai, cuaca serta arus deras. Mengemudi rakit atau tiub getah di celah batuan curam memerlukan latihan, selain sokongan kelengkapan keselamatan seperti jaket keselamatan dan topi keledar. Sama ada secara individu atau berpasukan, aktiviti ini memberi pengalaman fizikal dan mental yang mendalam.
Selain itu, aktiviti merentas hutan juga menjadi tarikan utama. Hutan Simpan Ulu Geroh kaya dengan flora dan fauna yang jarang ditemui, termasuk spesies terancam. Ekosistem hutan ini amat penting sebagai habitat hidupan liar, penstabil iklim, penyimpan karbon serta sumber air.
Pemandu pelancong daripada komuniti Semai biasanya berkongsi pengetahuan tentang tumbuhan yang penting dalam kehidupan mereka seperti rotan, buluh dan buah-buahan hutan. Aktiviti ini bukan sahaja memberi pengalaman fizikal, malah menyumbang kepada kesedaran tentang kepelbagaian biologi.
Satu lagi potensi besar ialah avitourism atau pelancongan memerhati burung. Walaupun senarai lengkap spesies burung di kawasan ini belum tersedia, hutan simpan yang bersambung dengan hutan lain sudah tentu menjadi habitat pelbagai spesies.
Jika Belum-Temengor dilaporkan mempunyai lebih 300 spesies burung, termasuk burung enggang, Ulu Geroh juga diyakini kaya dengan spesies yang bernilai tarikan. Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan lebih 800 spesies burung, menandakan potensi besar Ulu Geroh dalam bidang ini.
Rama-rama Rajah Brooke dengan sayap hitam dan hijau terang sering ditemui di kawasan lembap, mendapatkan mineral daripada buah reput atau najis haiwan. Mineral ini penting untuk pertumbuhan dan pembiakan mereka.
Namun, bagi menjamin kelestarian kawasan ini, kajian berterusan tentang kepelbagaian biologi perlu dipergiat. Institusi penyelidikan dan universiti harus bekerjasama menambah data ekologi, khususnya mengenai spesies bunga pakma, Rajah Brooke dan burung. Ulu Geroh yang merupakan sebahagian daripada Geopark Lembah Kinta dan Tapak Kepelbagaian Biologi penting wajar diberikan perhatian dari segi dana dan penyelidikan.
Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) memainkan peranan penting dalam melibatkan komuniti Semai menerusi program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA).
Pendekatan ini membantu penduduk memahami isu kepelbagaian biologi, kemerosotan hutan dan pencemaran. Namun, peningkatan pelancong juga boleh menimbulkan konflik dengan kelestarian alam jika tidak dikawal. Oleh itu, undang-undang berkaitan hutan simpan mesti dikuatkuasakan dan dipatuhi.-UTUSAN
DR. AHMAD ISMAIL
Presiden Kongres Persatuan
Akademik Malaysia (MAAC)










