DALAM dunia kerja yang semakin kompleks dan dinamik, persoalan tentang sifat kepimpinan yang berkesan tidak pernah pudar.
Di sebalik dilema ini, wujud dua pendekatan berbeza iaitu yang berakar pada emosi serta keterhubungan sosial atau bertunjangkan prinsip, keberanian juga tanggungjawab moral.
Keinginan untuk disukai bukanlah kelemahan. Dalam psikologi sosial, pemimpin yang disukai seringkali memiliki kuasa rujukan (French & Raven, 1959), di mana pengikut patuh kerana kekaguman, bukan paksaan.
Model ini jelas kelihatan dalam organisasi moden seperti Google dan Netflix, yang menekankan budaya kerja inklusif, empati dan keseimbangan emosi.
Di Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes menjadi contoh dengan membina budaya kerja mesra di AirAsia, meletakkan nilai kemanusiaan sebagai teras kepimpinan.
Namun, pemimpin yang terlalu mengejar populariti berisiko mengelak daripada membuat keputusan sukar.
Kajian Harvard Business Review (2022) mendapati 47 peratus pemimpin baharu enggan memberi maklum balas jujur kerana khuatir hubungan interpersonal terjejas. Keadaan ini boleh mewujudkan budaya ‘mengiyakan semua’ sehingga melemahkan integriti organisasi.
Lebih membimbangkan, pemimpin yang obses dengan imej diri mudah terjerat dalam krisis pengesahan iaitu keperluan berterusan untuk dihargai. Lama-kelamaan, ia menjejaskan keaslian diri, melemahkan kredibiliti dan menimbulkan jurang kepercayaan dengan staf.
Kematangan dalam kepimpinan menuntut keberanian untuk membuat keputusan tegas meskipun tidak popular. Teori Kepimpinan Transformasional oleh Bass & Avolio (1994) menegaskan pemimpin sejati dihormati kerana visi jelas, prinsip teguh dan kejujuran. Mereka sanggup berkorban demi kepentingan bersama, bahkan rela menjadi tidak popular sekiranya itu diperlukan.
Dalam konteks Malaysia, Profesor Diraja Ungku Aziz adalah lambang kepimpinan berprinsip. Beliau bukan sahaja tokoh akademik tersohor tetapi juga pemikir dasar yang berani memperjuangkan Tabung Haji, membasmi kemiskinan luar bandar serta memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Keputusan beliau tidak selalu popular, namun keberanian dan integriti menjadikannya pemimpin yang dihormati dan meninggalkan legasi berkekalan.
Bagi masyarakat Asia, khususnya Malaysia, nilai budaya yang menekankan adab dan keharmonian dalam hubungan kerja tetap menjadi teras. Namun, generasi muda membawa perspektif berbeza. Generasi Z, yang kini merangkumi lebih 20 peratus tenaga kerja negara (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2023), cenderung menghargai ketelusan, keaslian dan keberanian menyatakan kebenaran.
Bagi mereka, kepimpinan bukan tentang ‘mengambil hati’ tetapi tentang konsistensi, kejujuran dan kesediaan memberi maklum balas jujur.
Kajian Center for Creative Leadership (2021) menyokong pandangan ini apabila mendapati 71 peratus pekerja lebih menghargai pemimpin tegas dan jelas arahannya berbanding pemimpin mesra tetapi goyah. Ini membuktikan penghormatan datang daripada keberanian membuat keputusan bermakna, bukan semata-mata keakraban.
Namun, ketegasan tidak boleh mengabaikan empati. Konsep kecerdasan emosi yang diketengahkan Daniel Goleman (1995) menekankan keseimbangan antara rasional dan emosi.
Pemimpin berkesan tahu bila untuk mendengar, bila untuk menegur dan bagaimana menyalurkan kritikan tanpa menjatuhkan maruah orang lain. Ketegasan yang berhikmah lebih berkesan berbanding kekerasan membuta tuli.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNESA ISA
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










