Nikotin: Manfaat terkawal atau racun tersembunyi?

Nikotin: Manfaat terkawal atau racun tersembunyi?

NIKOTIN sering dipandang sebagai ancaman kesihatan kerana kesannya terhadap tubuh, minda dan kehidupan sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIKOTIN sering dianggap musuh utama kesihatan kerana dikaitkan dengan kesan buruk fizikal, mental dan sosial. Namun, pandangan ini tidak mutlak.

Dari sudut sains moden, nikotin dalam dos terkawal mempunyai manfaat tersendiri. Ia mampu meningkatkan daya tumpuan, memori jangka pendek dan kewaspadaan melalui rangsangan neurotransmitter.

Nikotin juga berupaya mengurangkan selera makan, meningkatkan metabolisme serta dikaji potensinya dalam membantu rawatan penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson, walaupun masih di peringkat eksperimen.

Namun, risiko nikotin jauh lebih besar apabila digunakan tanpa kawalan, khususnya melalui rokok dan vape. Ia boleh meningkatkan tekanan darah, menyempitkan saluran darah serta menambah risiko serangan jantung dan strok.

Dalam kalangan remaja dan wanita hamil, nikotin menjejaskan perkembangan otak, pertumbuhan janin serta berisiko menyebabkan kelahiran pramatang.

Dari segi psikologi, nikotin amat ketagih kerana kesannya terhadap sistem ganjaran otak, menjadikan proses berhenti sukar dan sering disertai gejala penarikan diri.

Menurut maqasid syariah, sesuatu bahan diharamkan jika jelas memudaratkan agama, nyawa, akal, keturunan atau harta.

Maka, penggunaan nikotin berisiko tinggi seperti merokok ditegah.

Namun, Islam juga mengiktiraf prinsip darurat. Dalam konteks rawatan moden, penggunaan nikotin melalui kaedah lebih selamat seperti tampalan kulit, gula-gula getah atau inhaler dalam Terapi Pengganti Nikotin (NRT) boleh dianggap harus. Jika ia membantu perokok berhenti, maka penggunaannya dibolehkan kerana mencegah mudarat lebih besar.

Nikotin bukanlah bahan yang wajar ditolak secara total tetapi perlu dinilai secara seimbang antara manfaat dan risiko.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. RADZNIWAN A.RASHID & PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN