Jangan abai pokok di jalan utama demi keselamatan

Jangan abai pokok di jalan utama demi keselamatan

BANYAK pokok teduhan di tepi jalan sudah tua dan berisiko tumbang, maka memerlukan penjagaan seperti siram, pangkas atau dibaja secara berkala.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA ribut dan hujan lebat melanda, pokok tumbang bukan sekadar menghalang laluan. Insiden ini telah meragut nyawa dan mencederakan pengguna jalan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merekodkan 4,825 kejadian pokok tumbang pada 2023 dengan 10 kematian dan 47 cedera. Sehingga April 2024 pula, 1,085 kejadian dilaporkan. Angka ini menuntut tindakan yang tersusun oleh pihak berkuasa tempatan di seluruh negara.

Risiko tidak berpunca daripada ribut semata-mata. Ruang penanaman sempit, tidak sepadan dalam pemilihan saiz dan spesies dengan rizab jalan, kelemahan integriti struktur serta penyelenggaraan yang tidak memadai merupakan faktor kerap meningkatkan kebarangkalian kegagalan pokok.

Banyak pokok teduhan di tepi jalan utama sudah matang usianya. Tanpa penyiraman, pembajaan dan pemangkasan yang berdisiplin, dahan mudah patah dan akar kehilangan cengkaman apabila tanah tepu air.

Dari sudut keselamatan jalan raya, keutamaan kerja boleh dihimpunkan seperti berikut:

Jadual pemeriksaan berasaskan risiko perlu dilaksanakan
 Laluan utama, sekolah, hospital, hentian bas dan persimpangan sibuk wajar diperiksa lebih kerap berbanding jalan kejiranan.
 Tanda bahaya yang perlu diberi perhatian termasuk dahan mati, kanopi tidak seimbang, pokok condong, kaviti pada batang dan gejala penyakit.

Pelan kerja sebelum dan selepas ribut perlu jelas
 Ketika amaran angin, elak parkir di bawah kanopi besar dan tutup sementara zon yang berisiko. Selepas ribut, lakukan rondaan.
 Singkir dahan patah atau tersangkut, periksa tanah pangkal yang mungkin terangkat dan pastikan kabel tidak bergesel dengan dahan.
 Rekodkan masa tindak balas, tindakan yang dibuat dan bukti foto untuk audit dalaman.
Pengurusan data perlu mantap
 Inventori pokok yang seragam dengan butiran lokasi, spesies, umur anggaran, keadaan struktur dan sejarah kerja perlu dijadikan standard minimum.
 Inventori ini wajar dipautkan kepada sistem aduan awam supaya keutamaan kerja ditetapkan secara telus. Setiap tindakan lapangan hendaklah direkodkan agar kitaran aduan, pemeriksaan dan pembaikan dapat dijejaki.

Reka bentuk tepi jalan perlu memaafkan kesilapan
 Kawasan sisi jalan disusun supaya kesilapan pemandu tidak membawa padah. Untuk jalan yang sempit, pilih pokok berkanopi kompak.
 Tetapkan jarak tanaman yang sepadan dengan rizab jalan. Di pangkal pokok sediakan poket tanah yang longgar dan bersaliran baik supaya akar bernafas serta tidak mudah longgar selepas hujan lebat.
 Penjarangan kanopi dibuat dengan tujuan jelas iaitu menjaga jarak pandangan, mengurangkan beban angin dan menyingkir dahan mati, bukan merapikan rupa semata-mata.

Kita tidak perlu memilih antara teduhan atau keselamatan kerana kedua-duanya boleh berjalan seiring apabila pelaksanaan konsisten.

Data nasional sudah menunjukkan beban insiden, manakala penambahbaikan garis panduan membuktikan langkah yang praktikal sedia digerakkan. Yang tinggal hanyalah disiplin melaksana dan rekod yang telus.

Dengan pemilihan spesies yang tepat, penyelenggaraan berasaskan sains tempatan, pengurusan data yang kemas serta kebijaksanaan reka bentuk tepi jalan membolehkan pokok di tepi jalan utama kekal menjadi aset bandar yang menyejukkan tanpa menambah risiko kepada pengguna jalan.-UTUSAN

DR. NORDIANA MASHROS
Pensyarah Kanan,
Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×