BARU-baru ini tular kisah seorang bapa tunggal yang tidak lagi mampu menguruskan tiga orang anaknya yang kecil. Bapa berkenaan terpaksa menempatkan anak-anaknya di sebuah pusat jagaan anak yatim di Teluk Intan, Perak.
Memandangkan kos hidup membebankan di Kuala Lumpur, bapa itu terpaksa membuat keputusan menyedihkan demi masa hadapan anaknya supaya lebih terurus di pusat jagaan tersebut.
Saya yakin anak-anak kecil ini sedih dan emosi mereka terganggu selepas ditinggalkan bapanya walau berjanji akan menziarahi mereka apabila kelapangan. Difahamkan bapa tunggal tersebut secara kebetulan berasal dari Teluk Intan, jadi mudah baginya untuk melawat anak bila perlu.
Apa yang ingin saya sampaikan ialah berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, Jabatan Pendidikan Negeri bersama Hospital Teluk Intan dapat mengadakan kunjungan kepada anak-anak tersebut dan anak-anak yang lain di pusat jagaan bagi memulih emosi. Mereka masih kecil dan perlu sokongan pelbagai pihak demi meneruskan kelangsungan hidup sambil menuntut ilmu.
Saya juga berharap perkara ini dilakukan juga di pusat-pusat tahfiz persendirian, rumah jagaan anak yatim di seluruh negara dan dicadangkan perkara ini diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama jabatan lain dalam menguruskan emosi anak-anak Malaysia yang memerlukan sokongan dan perhatian sepanjang masa.-UTUSAN
BAPA PRIHATIN
Kajang, Selangor










