Jadilah pengguna media sosial yang beradab

Jadilah pengguna media sosial yang beradab

DALAM dunia yang penuh dengan suara dan maklumat ini, salah satu bentuk kebijaksanaan ialah kemampuan untuk bersangka baik dan menahan diri daripada menghakimi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA cabaran besar masyarakat hari ini ialah kecenderungan untuk cepat membuat penilaian tanpa meneliti kesahihan sesuatu perkara.

Budaya menghakimi secara terburu-buru semakin menjadi-jadi. Lebih membimbangkan, kita bukan sahaja menyimpan tanggapan itu tetapi turut menyebarkannya dan mengajak orang lain untuk turut menghukum. Inilah yang memupuk budaya penghakiman tanpa asas. Penghakiman sebegini tidak lagi bergantung kepada fakta atau kebenaran sebaliknya dipandu oleh emosi dan tajuk yang sensasi. Ramai individu yang menjadi mangsa fitnah atau salah faham sehingga nama baik mereka tercemar.

Kita juga sering lupa bahawa media sosial hanya memberikan kita sebahagian kecil daripada cerita sebenar. Hakikatnya, media sosial tidak mampu menunjukkan keseluruhan situasi, niat sebenar seseorang atau konteks yang lengkap. Lebih parah lagi, apabila andaian itu dibina di atas kata-kata orang lain. Maka lahirlah gelombang kecaman yang bersifat rantaian dan kebenaran semakin tenggelam.

Sikap terburu-buru membuat kesimpulan bukan sekadar isu emosi sementara di media sosial. Keadaan ini memberi kesan jangka panjang terhadap kepercayaan sesama kita. Apabila budaya menilai tanpa berfikir menjadi kebiasaan, masyarakat akan hidup dalam suasana penuh curiga dan ketegangan.

Kita menjadi lebih cepat marah, kurang sabar dan mudah hilang rasa empati antara satu sama lain.

Justeru, penyelesaiannya tidak boleh diletakkan pada satu pihak sahaja. Ia perlu bermula dari rumah, disokong oleh sekolah dan diperkukuh dalam masyarakat.

Di rumah, anak-anak harus dididik untuk bertanya sebelum percaya dan belajar menilai sesuatu dengan hati yang tenang. Ibu bapa boleh menjadi contoh dengan tidak mudah menyebarkan berita yang tidak pasti atau memberi komen yang mengguris perasaan orang lain. Sikap ini mudah dipelajari jika dibiasakan sejak dari kecil.

Di sekolah pula, literasi digital dan pendidikan nilai perlu dikemas kini agar lebih sesuai dengan keperluan semasa. Pelajar bukan sahaja perlu tahu cara menggunakan teknologi tetapi juga cara berfikir secara kritikal dan berempati. Mereka perlu dilatih untuk memahami bahawa tidak semua yang tular itu benar dan tidak semua yang diam itu salah.

Masyarakat pula harus belajar untuk menahan diri. Tidak salah untuk prihatin tetapi sangat penting untuk berlaku adil. Dalam banyak keadaan, lebih baik diam daripada menyebarkan andaian yang belum tentu betul. Kita juga perlu mula membina budaya menyoal dan memahami, bukan hanya menghukum. Jika ada sesuatu yang mengundang persoalan, cari maklumat daripada sumber yang sahih. Jangan biarkan emosi mendahului akal.

Dalam dunia yang penuh dengan suara dan maklumat ini, salah satu bentuk kebijaksanaan ialah kemampuan untuk bersangka baik dan menahan diri daripada menghakimi. Kita mungkin tidak dapat mengawal apa yang orang lain muat naik tetapi kita boleh mengawal bagaimana kita bertindak balas.

Kita tidak perlu menjadi pakar untuk menggunakan media sosial secara bertanggungjawab. Cukup dengan sedikit kesedaran, sedikit belas ihsan dan keinginan untuk berlaku adil. Usaha membentuk masyarakat yang matang bermula dengan tindakan kecil yang kita ambil setiap kali berdepan sesuatu yang tular.

Di situlah terletaknya kekuatan sebenar sebuah masyarakat yang beradab. – UTUSAN

SYED AZMAN SYED ISMAIL
Pelajar pascasiswazah
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN