ALANGKAH memalukan, di Malaysia sebagai sebuah negara yang majoritinya Islam, ada pihak yang tanpa segan silu mempromosikan minuman arak dalam masyarakat umum dan majlis rasmi kerajaan. Sungguh memalukan, sudah ketinggalan zaman.
Dengan mengambil kira kesan tabiat meminum arak terhadap kesihatan badan dan kehidupan masyarakat, arak tidak patut dipromosi dan dihidangkan secara terang terangan sama ada pada iklan, majlis keraian apatah lagi dalam majlis rasmi anjuran kerajaan.
Ini boleh memberi mesej yang terpesong pada mata masyarakat umum yang kerajaan melalui kementeriannya mempromosikan arak. Sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi dan majoriti rakyatnya beragama Islam, insiden menghidangkan arak dalam majlis anjuran sebuah kementerian memang tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.
Walaupun menterinya memberi pelbagai dalih kononnya majlis itu adalah anjuran pihak industri, hakikatnya ia menggunakan logo dan nama kementerian dalam majlis itu. Staf kementeriannya pun banyak yang hadir. Apakah logik menteri itu mengatakan majlis itu tiada kaitan dengan majlis rasmi kerajaan?
Lagi satu yang penting ialah peranan pegawai yang menasihati menteri dalam melaksanakan sesuatu majlis rasmi kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab sepatutnya meneliti dan menasihati menteri supaya majlis yang diadakan mematuhi protokol dan aturan yang ditetapkan supaya berjalan lancar tanpa kontroversi.
Tidak mungkin pegawai berkenaan tidak tahu tentang agenda majlis.
Dalam insiden menghidang arak, maruah dan imej Malaysia sebagai negara Islam tergadai dan tercalar. Semuanya akibat sikap angkuh menteri dan kerana penasihatnya yang tidak melaksanakan peranan sewajarnya.
Setakat amaran keras Perdana Menteri terhadap menteri ini dirasakan tidak memadai. Janganlah disebabkan menteri yang seorang ini, imej baik kerajaan seluruhnya tercalar.
Sesungguhnya tabiat meminum arak banyak mengundang mudarat kepada kesihatan dan kerukunan hidup masyarakat. Oleh itu, arak tidak sepatutnya diiklankan dan dihidangkan di mana-mana tempat awam apatah lagi dalam majlis rasmi kerajaan.
Majlis rasmi kerajaan yang menghidangkan arak tidak wajar dipromosikan ke dunia luar terutama pelancong, kononnya negara ini sangat bertoleransi. Ini bukan maksud toleransi yang sebenar.
Tindakan itu mencemar imej Malaysia yang begitu terkenal di mata dunia sebagai negara majoriti penduduknya Islam. Umat Islam di negara ini juga dikenali dengan sifat taat mematuhi perintah agama seperti mengutamakan sembahyang lima waktu dan tidak meminum arak.
Memang diakui arak boleh mendatang manfaat kepada manusia tetapi mudaratnya lebih besar. Kita mestilah memilih tindakan yang mengelakkan kemudaratan berbanding sedikit manfaat yang mungkin ada.
Firman Allah tentang besar kemudaratan arak (dan judi) berbanding sedikit manfaatnya:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…” (Surah al-Baqarah: 219) –UTUSAN
PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT
Jasin, Melaka










