UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) melalui Pusat Bahasa menganjurkan Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Bahasa 2025 (LaRIC2025) secara dalam talian dengan penyertaan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT), menghimpunkan penyelidik, pendidik dan pelajar dari seluruh negara.
Memasuki edisi kedua, LaRIC2025 mengangkat tema ‘Bahasa sebagai Pemangkin Perpaduan: Inovasi dalam Pendidikan Bahasa’, yang menekankan bahasa sebagai wahana pendidikan, integrasi budaya dan pembinaan masyarakat berpengetahuan.
Pertandingan ini menjadi platform penting dalam memperkasa wacana akademik serta menggalakkan pendekatan inovatif dalam pengajaran bahasa.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, dalam ucapan perasmian menegaskan LaRIC2025 bukan sekadar pertandingan tetapi medan strategik membina jaringan ilmu, memperkukuh kolaborasi akademik serta merintis penyelidikan berimpak tinggi dalam pendidikan bahasa.
Beliau turut mengaitkan LaRIC dengan hala tuju strategik universiti, UPNM30, yang menyasarkan kedudukan global menjelang 2030.
Pengarah Pusat Bahasa UPNM, Profesor Dr. Jowati Juhary, pula menekankan peranan bahasa sebagai jambatan budaya, medium komunikasi dan mekanisme penyelesaian masalah dalam masyarakat majmuk.
Acara ini turut menampilkan ucaptama daripada dua tokoh akademik. Profesor Madya Dr. Muhammad Helmi Norman daripada Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) menyorot potensi kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin kaedah pembelajaran bahasa interaktif dan relevan dengan generasi masa hadapan.
Sementara itu, Nora Markom dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam menegaskan kepentingan bahasa Melayu sebagai tunjang jati diri bangsa, di samping menekankan inovasi pedagogi untuk memperkukuh kedudukannya dalam era digital.
Kemuncak LaRIC2025 menyaksikan pengumuman pemenang Anugerah Emas dalam tiga kategori.
Diketuai Amir Lukman Abd. Rahman daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih kejayaan bagi Kategori Bahasa Inggeris dengan aplikasi The LG’s Linguaphiles 4.0, berkonsepkan permainan perisik interaktif.
Amirul Mukminin Mohamad (UKM) pula memenangi Kategori Bahasa Melayu dengan inovasi Kaedah Ekspedisi Pendalaman Bahasa (L.I.E), manakala Aisyah Aminah Che Amran (Universiti Islam Antarabansga Malaysia, UIAM) menonjol dalam Kategori Bahasa Asing melalui projek i-Syair: Transformasi Sastera Arab melalui Realiti Terimbuh (AR).
Dengan lebih 40 abstrak penyelidikan diterima, LaRIC2025 membuktikan peranannya sebagai platform pertemuan idea segar, selain mengukuhkan kedudukan bahasa sebagai asas pendidikan berkualiti, perpaduan nasional dan masyarakat berdaya saing. – UTUSAN
DR. MHD. FAIZAL MHD. RAMLI
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)










