Didik dengan hati tamatkan luka tanpa darah di sekolah

Didik dengan hati, tamatkan luka tanpa darah di sekolah

ISLAM tidak menjadikan rotan sebagai jalan utama pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA luka yang tidak berdarah di sekolah yang tidak kelihatan di wajah tetapi membekas di jiwa, namanya buli. Ia bukan sekadar tamparan, ejekan atau sepak terajang, tetapi tekanan emosi yang perlahan-lahan memadamkan keyakinan diri. Di sebalik beg berat dan senyuman palsu, ada anak yang belajar menahan tangis setiap hari.

Namun di tengah kegetiran itu, muncul suara yang memilih jalan berbeza iaitu jalan rahmah, bukan rotan.

“Senang orang cakap rotan sahaja, tapi tidak semudah itu,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika melancarkan Kempen Antibuli 2025. Beliau menyeru agar pendidikan kembali berpaksikan nilai kasih dan kemanusiaan, bukan ketakutan dan hukuman.

Laporan Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan peningkatan kes buli saban tahun, baik secara fizikal mahupun siber. Kesan buli bukan sekadar luka di badan tetapi trauma panjang yang meragut keyakinan mangsa dan memadam empati pelaku.

Dalam Islam, buli adalah kezaliman yang dikeji. Rasulullah SAW bersabda: “Ramai beranggapan rotan mampu ‘mengajar’ anak yang degil. Namun Islam tidak menjadikan rotan sebagai jalan utama pendidikan.” Hadis Rasulullah SAW yang menyeru agar anak disuruh solat pada usia tujuh dan ditegur dengan tegas pada usia 10 tahun, bukanlah lesen untuk memukul tetapi panduan mendidik secara berperingkat dengan kasih, nasihat serta teguran berhikmah.

Imam al-Ghazali mengingatkan rotan yang menimbulkan dendam atau ketakutan gagal menjadi alat pendidikan.

Kajian moden turut menyokong hikmah ini. Gershoff & Grogan-Kaylor (2016) mendapati hukuman fizikal tidak meningkatkan disiplin malah mengundang agresi dan kemurungan. Ibn Qayyim al-Jawziyyah pula menulis hati anak seperti tanah subur, jika disemai kasih, tumbuhlah kebaikan sebaliknya jika disemai ketakutan, lahirlah kebencian.

Fadhlina menegaskan, pelajar yang dibuang atau digantung sekolah tetap di bawah tanggungjawab KPM. Maka peranan sekolah bukan menghukum tetapi memulihkan. Pendekatan ini berasaskan keadilan yang menyembuhkan, bukan membalas.

Dalam usaha membina sistem berasaskan kasih, Pertubuhan IKRAM Malaysia memperkenalkan Modul Asas Islam Rahmah (Aisar) yang menekankan nilai adil, ihsan, syura, amanah dan rahmah bagi melahirkan pelajar berjiwa seimbang.

Yusuf al-Qaradawi menulis pendidikan Islam mesti menyentuh akal dan jiwa serentak. Tanpa rahmah, ilmu menjadi kering dan pelajar hanya patuh tanpa memahami.

KPM turut memperkukuh keselamatan sekolah melalui audit menyeluruh melibatkan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV), rekod aduan dan tugasan warden.

Kata-kata boleh menyembuhkan dan penulisan boleh membentuk budaya. KPM disaran menggembeleng penulis dan aktivis untuk menggerakkan kempen. Naratif yang berjiwa mampu mengubah cara masyarakat berfikir lebih daripada sekadar poster amaran.

Dalam konteks lebih luas, KPM kini bekerjasama dengan Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli untuk memperkukuh perlindungan pelajar. Namun seperti diingatkan oleh Ibn Taimiyyah, keadilan tidak dapat ditegakkan hanya dengan hukuman tetapi mesti disertai ilmu, hikmah dan nasihat.

Perubahan mesti bermula dengan hati tidak kira guru, pelajar atau sistem. Pendidikan berasaskan rahmah bukan kelemahan tetapi kematangan. Bila hati guru lembut, kata-katanya jadi doa, bila jiwa pelajar tenang, ilmunya jadi cahaya.-UTUSAN

ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×