Buli di universiti: Didik sejak hari pertama orientasi

Buli di universiti: Didik sejak hari pertama orientasi

SEJAK minggu pertama, khususnya dalam program orientasi, pelajar seharusnya diberi pendedahan jelas tentang bahaya buli, termasuk implikasi undang-undang dan kesan psikososial terhadap mangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN jawapan di Dewan Rakyat baru-baru ini, sebanyak 31 kes buli dilaporkan di lapan universiti awam antara 2014 hingga 2025. Kajian lain pula mendapati 66 peratus pelajar di institusi pengajian tinggi pernah mengalami buli siber, satu angka yang cukup membimbangkan di era digital.

Angka ini menggambarkan bahawa budaya buli wujud dalam pelbagai bentuk, sama ada secara fizikal, emosi mahupun melalui media sosial.

Ketika ini, ribuan pelajar baharu melangkah masuk ke universiti awam di seluruh negara. Inilah peluang terbaik bagi pihak pentadbiran universiti untuk membentuk budaya kampus yang sihat, inklusif dan bebas daripada buli.

Sejak minggu pertama, khususnya dalam program orientasi, pelajar seharusnya diberi pendedahan jelas tentang bahaya buli, termasuk implikasi undang-undang dan kesan psikososial terhadap mangsa.

Pendidikan awal ini mampu menanam nilai empati dan rasa hormat dalam kalangan pelajar sebelum mereka benar-benar menyelami kehidupan kampus. Buli di universiti tidak semestinya berlaku dalam bentuk fizikal. Ia sering hadir dalam bentuk sindiran, ejekan, pengasingan sosial atau tekanan rakan sebaya.

Dalam era digital, buli siber melalui media sosial dan aplikasi perbualan menjadi lebih membimbangkan kerana ia boleh berlaku tanpa batasan ruang dan masa. Kesan psikologi seperti kemurungan, kebimbangan dan hilang keyakinan diri boleh menjejaskan pencapaian akademik, bahkan membawa kepada tindakan ekstrem. Oleh itu, universiti mesti memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani isu ini.

Pertama, pencegahan perlu dijadikan agenda utama melalui ceramah kesedaran, bengkel interaktif dan kempen berterusan sepanjang tahun akademik.

Kedua, universiti perlu menyediakan saluran laporan yang telus, mudah diakses serta menjamin kerahsiaan pengadu. Pelajar harus yakin bahawa aduan mereka akan diambil tindakan tanpa risiko pembalasan. Selain itu, tatacara disiplin yang jelas dan penguatkuasaan yang tegas harus dijalankan secara konsisten.

Universiti wajar mewujudkan dasar toleransi sifar terhadap buli seiring dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama, program sokongan seperti kaunseling psikologi perlu diperkasakan agar mangsa berasa dilindungi dan pembuli pula diberi ruang pemulihan.

Masyarakat kampus adalah cerminan kepada masyarakat luas. Jika universiti berjaya membina persekitaran bebas buli, kita akan melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang akademiknya, tetapi juga matang dari segi emosi, berakhlak mulia, dan berdaya saing dalam dunia nyata.

Kes Zara Qairina dan Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain harus membuka mata kita semua bahawa buli bukan isu remeh. Kita tidak boleh menunggu tragedi demi tragedi untuk berubah. Pendidikan anti-buli mesti bermula sejak hari pertama pelajar menjejakkan kaki ke menara gading. Inilah masa untuk kita membina budaya kampus yang lebih penyayang, adil dan beradab – kerana mahasiswa hari ini adalah pemimpin negara pada masa hadapan. – UTUSAN

DR. MOHAMAD HALIM MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan
Fakulti Sains Kesihatan
UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×