HANYA berbaki sehari sahaja lagi sebelum aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober ini. Malangnya, arena bola sepak Malaysia dikejutkan dengan hukuman berat dijatuhkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan atas dakwaan memalsukan dokumen.
Sememangnya isu ini bukan sahaja jelas menjejaskan reputasi kepimpinan tertinggi bola sepak negara, malah sedikit-sebanyak mencalar imej bola sepak Malaysia di mata dunia. Situasi ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai status penyertaan Malaysia dalam kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.
Perlu diakui hakikat skuad Harimau Malaya ketika ini berada pada tahap berprestij sehingga menjadi perhatian dan ancaman kepada negara-negara jiran Asia Tenggara. Harimau Malaya menjadi pasukan yang semakin digeruni setelah menghasilkan beberapa siri keputusan cemerlang sebelum ini.
Namun kini revolusi yang sedang dilakukan dan dibanggakan ini terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. FAM harus segera bertindak mempertahankan kebenaran dan membersihkan imej bola sepak negara yang tercemar. Peminat bola sepak tempatan tidak lagi boleh menerima cemuhan dan ejekan para penyokong negara jiran yang sememangnya gembira dengan kejatuhan Harimau Malaya.
FAM disaran segera membina pasukan undang-undang mantap bagi memperkukuh rayuan dan menangkis tindakan undang-undang oleh FIFA. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana membabitkan masa depan pemain-pemain terlibat dan bola sepak negara secara keseluruhannya.
Pada masa sama, peminat dan penyokong Harimau Malaya diharap agar dapat memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berjalan dan tidak membuat andaian yang boleh menjejaskan proses rayuan.
Komuniti bola sepak negara sudah tentu mengharapkan keputusan positif dapat diraih berkait isu ini dan integriti bola sepak negara dapat dipulihkan segera. FAM perlu memikul tanggungjawab membersihkan imej negara, pemain dan sukan bola sepak negara amnya. Jika keputusan tidak memihak kepada Malaysia, kesannya amat besar terhadap sukan bola sepak negara.-UTUSAN
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










