Banteras gejala curi tulang dalam kalangan pekerja

Banteras gejala curi tulang dalam kalangan pekerja

PEKERJA sama ada dalam sektor awam mahupun swasta perlu berusaha mengamalkan sifat amanah semasa bekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN akan menanggung beban kewangan dan sumber manusia jika ramai kakitangannya yang tidak amanah mencuri tulang semasa bekerja. Ia termasuk culas dalam menghormati waktu kerja, bekerja secara minimum atau tidak bersungguh-sungguh.

Daripada lebih RM 300 bilion peruntukan perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan, hampir separuh diperuntukkan untuk membayar gaji dan elaun (emolumen) penjawat awam serta bayaran persaraan. Dengan jumlah wang sebanyak itu, pastinya kerajaan menyasarkan penjawat awam komited terhadap tugas dengan kompeten dalam menjalankan kerja, cekap dan amanah.

Tetapi jika ramai penjawat awam yang mencuri tulang semasa berkerja tentulah sasaran ini sukar dicapai serta akan terganggu aspirasi kerajaan dalam memacu reformasi sektor awam iaitu melalui pengukuhan tadbir urus, peningkatan perkhidmatan dan jaminan kemampanan fiskal. Komitmen kerajaan untuk mengoptimumkan sumber awam dan meminimumkan ketirisan juga boleh terkesan.

Setiap penjawat awam wajib menerapkan sifat amanah dan integriti semasa bekerja. Mereka mesti mengingati perakuan Aku Janji yang ditandatangani semasa mula bekerja dulu. Antaranya, akan sentiasa menjalankan tugas dengan cermat, bersungguh-sungguh, cekap, jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Menangani gejala mencuri tulang dalam kalangan penjawat awam agak sukar kerana sudah menjadi amalan dan budaya sebahagian daripada mereka. Walaupun tapisan dilakukan semasa proses mengambil pekerja baharu, namun amalan mencuri tulang ini selalunya berlaku setelah pekerja itu disahkan jawatan dan berkhidmat dalam jangka masa yang agak lama.

Ketua jabatan melalui pegawainya boleh membantu dalam memantau dan mengawal gejala ini daripada berleluasa. Ia boleh dilakukan dengan memberi pekerja tugas bersasar dan bimbingan yang mampu menaikkan semangat untuk fokus bekerja serta memberi maklum balas bagi langkah penambahbaikan. Pekerja yang mencuri tulang mesti ditegur dan diberi amaran sewajarnya.

Semua pekerja perlu diperingatkan tentang kepentingan menghormati waktu kerja di pejabat dan jangan keluar sesuka hati tanpa kebenaran.

Jika perkara ini tidak dipatuhi lambat-laun semua pekerja akan mendapat susah apabila peraturan baharu yang lebih ketat diperkenalkan seperti pemeriksaan mengejut dan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pergerakan pekerja. Jangan sia-siakan kebebasan dan keanjalan suasana bekerja yang dinikmati selama ini.

Namun yang lebih penting ialah setiap penjawat awam perlu bermuhasabah diri tentang niatnya bekerja di sektor awam. Tugas sebagai penjawat awam adalah amanah yang diberikan kerajaan dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Perbuatan mencuri tulang sama seperti mengkhianati amanah ini.

Amat ironi sekali apabila memikirkan ada penjawat awam mengkritik keras kes rasuah dalam kalangan ahli politik yang melesapkan wang negara sedangkan mereka sendiri kerap ponteng kerja dan selalu mencuri tulang.

Oleh itu, marilah kita sebagai pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta berusaha mengamalkan sifat amanah semasa bekerja. Kita juga hendaklah sentiasa meningkatkan kekuatan (kompetensi dan kemahiran kerja) demi kemajuan diri, organisasi serta negara.
Firman Allah tentang dua ciri utama pekerja yang baik:

“Salah seorang perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi pekerja, sesungguhnya sebaik-baik pekerja yang ayah ambil ialah orang yang kuat lagi amanah”. (Al-Qasas: 26)-UTUSAN

PEMERHATI GEJALA MASYARAKAT
Jasin, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×