Antara kehendak, keperluan pelajar IPT

Antara kehendak, keperluan pelajar IPT

CABARAN kewangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berpunca daripada keseimbangan antara kehendak dan keperluan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP tahun, ribuan pelajar berdepan cabaran pengurusan wang saku, pinjaman pendidikan atau elaun biasiswa sepanjang tempoh pengajian. Persoalan utama yang timbul ialah bagaimana pelajar dapat membezakan antara keperluan dan kehendak ketika berbelanja kerana kegagalan mengurus perkara ini sering menjadi punca masalah kewangan.

Cabaran besar bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) ialah membuat keputusan berbelanja secara rasional kerana mereka terdedah kepada pengaruh rakan sebaya, media sosial dan gaya hidup moden yang menekankan trend serta status.

Dari segi ekonomi, keputusan ini menyebabkan pelajar menanggung kos peluang, iaitu wang yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain seperti membeli buku rujukan atau menampung kos makan selama sebulan, akhirnya ‘hilang’ kerana memenuhi kehendak.

Realitinya, ramai pelajar bergantung kepada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau biasiswa. Jika tidak bijak mengurus, wang tersebut boleh habis dalam masa singkat.

Ada yang menghabiskan sebahagian besar elaun awal semester untuk membeli gajet, motosikal baharu atau melancong, lalu terpaksa berjimat melampau menjelang hujung semester. Keadaan ini memberi tekanan mental, menjejaskan fokus pembelajaran dan dalam kes tertentu menyebabkan pelajar terjebak dengan hutang peribadi.

Dari perspektif makroekonomi, isu ini juga memberi implikasi kepada negara. Jika mereka mula berhutang sejak di universiti akibat gaya hidup berlebihan, kemungkinan besar beban hutang isi rumah akan terus meningkat apabila memasuki alam pekerjaan.

Malaysia kini sudah mencatatkan kadar hutang isi rumah melebihi 80 peratus daripada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK), antara yang tertinggi di rantau ini. Justeru, mendidik pelajar mengurus kewangan sejak awal adalah penting untuk kesihatan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Namun, tidak dinafikan kos sara hidup pelajar memang meningkat. Harga makanan di kafeteria universiti, kos sewa rumah sekitar kampus dan tambang pengangkutan awam semakin menekan. Pelajar luar bandar yang menuntut di bandar besar berdepan kos sara hidup yang jauh lebih tinggi.

Antara cara praktikal ialah menggunakan konsep peruntukan belanjawan. Pelajar boleh membahagikan wang bulanan mengikut kategori dengan 50 peratus untuk keperluan asas (sewa, makan, yuran), 30 peratus untuk kehendak sederhana (hiburan, pakaian, makan luar) dan 20 peratus untuk simpanan atau kecemasan.

Pendidikan kewangan dalam kalangan pelajar perlu diperkasa melalui bengkel, kursus pendek atau program literasi kewangan. Universiti boleh bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memberi pendedahan awal tentang cara mengurus wang, risiko kad kredit dan kepentingan simpanan.
Kajian menunjukkan pelajar yang celik kewangan lebih tenang menghadapi cabaran sara hidup dan kurang bergantung kepada pinjaman tambahan.

Lebih penting lagi, tabiat pengurusan kewangan yang baik akan menjadi bekal apabila melangkah ke alam pekerjaan. Justeru, keutamaan harus diberikan dalam pendidikan tentang nilai wang, agar mereka bukan sahaja berjaya di menara gading tetapi juga mampu menyumbang kepada ekonomi negara dengan lebih bertanggungjawab.-UTUSAN

DR. MOHD. KHAIRI ISMAIL
Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran di Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN