PELAN Tindakan Kebangsaan mengenai Wanita, Keamanan dan Keselamatan (NAP WPS 2025–2030) pertama Malaysia dilancarkan bersempena 2025 Sidang Kemuncak ASEAN Wanita, Keamanan dan Keselamatan di Putrajaya.
Pelan ini menekankan kepentingan memperkukuh peranan wanita dalam keamanan dan keselamatan sebagai syarat utama bagi memastikan pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
Semua pihak perlu berganding bahu bagi memastikan aspirasi yang terkandung dalam NAP WPS dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat. NAP WPS 2025–2030 merupakan dokumen dasar penting yang mengarusperdanakan perspektif gender dalam agenda keamanan negara.
Ia berteraskan kepada empat tonggak utama iaitu perspektif, pencegahan, penglibatan dan perlindungan selaras dengan kerangka antarabangsa dan serantau.
Proses penggubalan pelan ini melibatkan libat urus yang meluas bersama pelbagai kementerian, dengan sokongan pertubuhan masyarakat sivil dan akademia. Pendekatan inklusif ini memastikan NAP-WPS benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia.
Pelaksanaan NAP-WPS ini akan memberi tumpuan kepada:
– Memperkukuh kepimpinan dan penyertaan wanita dalam proses pembuatan dasar serta keamanan.
– Mengarusperdanakan perspektif gender dalam perancangan, pelaksanaan dan tindak balas terhadap krisis serta cabaran keselamatan bukan tradisional.
– Memberikan perlindungan berkesan kepada wanita dan kanak-kanak dalam situasi berisiko tinggi.
– Melaksanakan program advokasi dan pendidikan untuk meningkatkan kesedaran mengenai WPS di semua peringkat masyarakat.
Dengan pelancaran ini, Malaysia menegaskan komitmennya terhadap Resolusi 1325 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Platform Tindakan Beijing, serta Rangka Tindakan Serantau ASEAN mengenai WPS, di samping memperkukuh Visi Komuniti ASEAN 2045 yang menekankan keamanan, keterangkuman dan kesejahteraan rakyat.
Sidang Kemuncak ini menghimpunkan wakil-wakil negara anggota ASEAN dari pelbagai sektor, Sekretariat ASEAN, UN Women, rakan-rakan dialog ASEAN serta pertubuhan masyarakat sivil dan akademia bagi berkongsi pengalaman, amalan terbaik serta cabaran dalam melaksanakan agenda WPS di rantau ini.-UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT










