Protes Indonesia: Pengajaran buat Malaysia

Protes Indonesia: Pengajaran buat Malaysia

JIKA mahu mengelakkan protes seperti di Indonesia daripada berlaku di Malaysia, kita mesti belajar daripada pengalaman negara jiran tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA minggu lalu, jiran kita, Indonesia, dilanda siri protes besar-besaran. Puncanya mungkin kelihatan kecil iaitu kontroversi mengenai elaun perumahan untuk ahli Parlimen.

Namun, ia dengan cepat mencetuskan gelombang kemarahan yang meluas ke seluruh negara. Bagi rakyat Indonesia, isu ini melambangkan jurang yang begitu ketara antara kehidupan rakyat marhaen dan segelintir pemimpin.

Apa yang terjadi di Indonesia harus menjadi cerminan buat kita di Malaysia. Walaupun puncanya berbeza, kita juga berhadapan dengan keresahan rakyat yang sama, terutamanya isu kos sara hidup yang semakin menghimpit. Keresahan ini tidak mengenal kaum, agama atau lokasi geografi. Dari warga kota hingga ke luar bandar, rata-rata rakyat merasai beban ini setiap hari.

Ketika turun padang, saya bertemu peniaga kecil, ibu tunggal, warga emas dan belia yang terpaksa mengikat perut atau melakukan dua pekerjaan demi kelangsungan hidup. Perasaan tidak didengari dan beban ditanggung inilah yang berpotensi menjadi pencetus api keresahan yang lebih besar.

Untuk menangani isu ini, kerajaan mengambil langkah proaktif. Inisiatif seperti Jualan Rahmah dan Jualan Agro Madani mendapat sambutan baik. Kedua-dua program ini diadakan secara serentak di Bukit Bintang pada 6 September lalu dan melibatkan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Rakyat dapat membeli barang keperluan asas seperti ayam, ikan dan sayur pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran semasa program-program berkenaan.

Maklum balas positif dari pengunjung ke aktiviti-aktiviti tersebut membuktikan inisiatif sebegini, jika dirancang dengan baik, dapat mengurangkan beban rakyat secara langsung.

Namun, langkah-langkah ini hanya bersifat jangka pendek.

Untuk kestabilan jangka panjang, kita memerlukan strategi yang lebih menyeluruh. Kita perlu mencari jalan untuk menstabilkan harga barang dengan mengukuhkan rantaian bekalan makanan dan mengurangkan kebergantungan terhadap import.

Pada masa sama, kita juga harus membantu peniaga tempatan dan pengeluar kecil supaya kos dapat dikawal dari peringkat sumber.

Selain itu, penting untuk memperkukuh jaring keselamatan sosial. Ini termasuk mengkaji semula kadar gaji dan skim bantuan tunai agar lebih adil, saksama, dan berasaskan data yang sahih. Jaring keselamatan yang lebih kukuh ini akan memastikan tiada golongan rentan yang tercicir, terutama dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup berterusan.

Situasi di Indonesia ini harus dijadikan pengajaran di Malaysia. Kita masih mempunyai peluang untuk bertindak sebelum terlambat. Kerajaan perlu terus mendengar keluhan rakyat, bertindak berdasarkan keperluan sebenar dan memastikan dasar-dasar yang digubal sampai kepada golongan sasar tanpa birokrasi yang membebankan.

Kestabilan negara tidak boleh bergantung kepada statistik ekonomi semata-mata. Ia bergantung kepada keupayaan kita menangani masalah kelangsungan hidup. Ini adalah soal harapan dan masa hadapan mereka.

Jika benar-benar mahu Malaysia kekal aman dan bersatu, bukan terjerumus ke kancah huru-hara seperti di Indonesia baru-baru ini, maka kita mesti belajar dari pengalaman negara jiran. Menangani keresahan rakyat dengan jujur dan terbuka adalah langkah yang perlu diambil segera, sebelum ketidakpuasan hati memuncak dan mendorong kita ke arah yang sama.-UTUSAN

BEN FONG KOK SENG
Pengerusi Zon Bukit Bintang
Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN