SABAN tahun, ada sahaja pelajar baharu yang menjadi mangsa sama ada melalui ejekan, hukuman tidak munasabah, atau penderaan emosi yang meninggalkan kesan jangka panjang. Sebahagian besar insiden ini berlaku ketika program orientasi pelajar baharu, sama ada di sekolah berasrama, mahupun institut pengajian tinggi (IPT).
Program orientasi, yang sepatutnya menjadi pintu masuk mesra untuk membantu pelajar menyesuaikan diri, bertukar menjadi pengalaman ngeri bagi pelajar yang sedang melangkah ke fasa kehidupan baharu. Denda, tekanan, dan penghinaan sering dibungkus dengan alasan kononnya untuk melatih ketahanan mental atau mengeratkan hubungan.
Akibatnya, orientasi yang sepatutnya inklusif berubah menjadi pentas hierarki toksik, mewariskan trauma, kebencian dan mematahkan semangat pelajar dari satu generasi ke generasi lain. Lebih serius, ia mencalarkan imej institusi pendidikan sebagai tempat yang sepatutnya selamat dan inklusif.
Bagaimana kita mahu melahirkan generasi yang mampu menangani isu besar dunia seperti perubahan iklim atau ketidaksamaan sosial, jika ruang belajar mereka sendiri masih dipenuhi budaya buli yang dianggap normal?
September-Oktober Kayu Ukur Perubahan
Sesi orientasi yang bakal berlangsung pada bulan September dan Oktober ini merupakan tempoh kemasukan kohort pelajar baharu seterusnya di IPT. Inilah masa paling kritikal untuk membuktikan sama ada IPT benar-benar tekad melakukan perubahan drastik.
Apa yang sepatutnya diberi tumpuan? Pertama, pelajar baharu perlu didedahkan dengan maklumat asas tentang kampus. Misalnya, lokasi fakulti, perpustakaan, pusat kesihatan, dewan kuliah, pejabat pentadbiran dan kemudahan-kemudahan lain. Maklumat sebegini sangat penting untuk membantu mereka menguruskan kehidupan seharian secara berdikari, tanpa perlu terlalu bergantung kepada rakan atau warden.
Kedua, program orientasi juga boleh menjadi wadah memperkenalkan pelajar kepada peraturan kampus, sistem akademik, serta pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Contohnya, sistem pembelajaran digital, kaunseling, bantuan kewangan dan juga aktiviti kokurikulum. Semua ini adalah maklumat asas yang sangat diperlukan, tetapi malangnya sering tidak diberikan penekanan secukupnya.
Ketiga, perketat pemantauan orientasi secara proaktif, menggubal garis panduan yang menekankan kesejahteraan serta maruah pelajar dan menyediakan sistem laporan selamat tanpa stigma atau risiko balas dendam.
Mengubah Naratif Orientasi
Sudah tiba masanya kita mengubah naratif orientasi di Malaysia. Orientasi tidak boleh lagi sinonim dengan jeritan fasilitator, hukuman berlebihan, atau aktiviti “tradisi” yang sebenarnya menormalisasi buli. Ia mesti kembali kepada roh sebenar pendidikan iaitu mendidik, mengalu-alukan dan membentuk identiti pelajar sebagai warga akademik yang beretika, inklusif dan bertanggungjawab.
Aktiviti yang menekankan kerjasama, kepimpinan, kesukarelawanan dan nilai kemanusiaan harus menggantikan amalan lapuk. Kita mahu pelajar yang berani bersuara, aktif dalam komuniti kampus dan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran akademik serta kehidupan moden.
Harapan ini bukan retorik kosong. Ia lahir daripada desakan bahawa isu ini sudah berlarutan terlalu lama. Program orientasi dalam masa terdekat akan menjadi kayu ukur penting. Adakah kita sekadar berpuas hati dengan kecaman di media sosial atau benar-benar ingin menyaksikan transformasi dalam pelaksanaan dan tindakan? Jika kita gagal bertindak sekarang, kita sedang menghantar isyarat berbahaya kepada generasi muda bahawa buli boleh diterima walhal ia sepatutnya dihentikan serta-merta. – UTUSAN
DR. SHARIFAH INTAN SHARINA
SYED ABDULLAH
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM










