BARU-BARU ini, Malaysia digemparkan dengan beberapa siri insiden melibatkan warga China dalam tempoh yang sangat singkat.
Bermula dengan kes tikaman di sebuah universiti swasta pada hujung Julai, diikuti penahanan dua lelaki kerana menerbangkan dron berhampiran Wisma Pertahanan, di susuli tragedi seorang wanita melanggar dan menikam orang awam di Kajang, ancaman terhadap aktivis anti-Parti Komunis China di Taman Connaught dan seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dicederakan.
Rentetan lima insiden ini menimbulkan persoalan sama ada ia kebetulan semata-mata atau petanda ancaman keselamatan yang lebih serius.
Malaysia sejak lama terkenal sebagai negara yang membuka pintu kepada warga asing melalui pelbagai program seperti pelaburan, pemilikan hartanah, dan skim Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Program ini terbukti memberi manfaat ekonomi dengan menarik pelabur, pelajar antarabangsa serta pelancong jangka panjang.
Walaupun majoriti pekerja asing di Malaysia berasal dari Indonesia, Bangladesh, dan Myanmar, namun kehadiran warga China semakin ketara terutama dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.
Projek mega pembinaan sering membawa masuk tenaga kerja teknikal dari China, kilang milik pelabur China mengimport jurutera mereka sendiri, manakala restoran dan pusat hiburan yang dimiliki warga China semakin banyak di bandar besar.
Kehadiran mereka ini tidak semestinya berkaitan dengan jenayah tetapi menjadi latar sosial yang penting untuk difahami dalam konteks hubungan antara warga tempatan dan warga asing.
Selain insiden fizikal, Malaysia juga menghadapi ancaman keselamatan moden yang lebih kompleks, termasuk ancaman siber, pengaruh media dan pertubuhan transnasional.
Dalam tempoh enam bulan pertama 2025, Malaysia merekodkan lebih 2,366 insiden siber termasuk serangan terhadap infrastruktur kritikal.
Sebahagian serangan ini dipercayai berasal daripada ‘aktor’ asing yang melakukan penggodaman dan sabotaj ekonomi. Ancaman ini bukan sahaja berwajah fizikal tetapi juga maya, yang lebih sukar dikesan dan ditangani.
Selain itu, pengaruh media dan penyebaran disinformasi juga semakin serius.
Laporan Freedom House 2022 mendedahkan kewujudan ‘content farms’ yang beroperasi di Malaysia untuk menyebarkan naratif pro-Beijing secara halus melalui media sosial dan berita palsu.
Media tempatan juga berisiko terpengaruh oleh tekanan politik dan kempen luar yang melemahkan kebebasan wacana nasional.
Di samping itu, kewujudan pertubuhan diasporik seperti Persatuan Sejarah dan Budaya Hongmen Sedunia yang secara zahirnya kelihatan sebagai organisasi budaya dan sosial, turut dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan rangkaian geopolitik yang menyokong kepentingan Beijing.
Jaringan ini menimbulkan kebimbangan diaspora boleh digunakan sebagai saluran pengaruh luar yang menjejaskan integriti politik dan sosial Malaysia.
Gabungan ancaman siber, pengaruh media dan jaringan transnasional ini menunjukkan isu warga China di Malaysia bukan sekadar masalah jenayah harian tetapi sebahagian daripada landskap keselamatan baru yang memerlukan perhatian serius dari kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang.
Tokoh politik seperti Tan Sri Dr. Rais Yatim pernah mengingatkan tentang kemungkinan infiltrasi warga China melalui pelbagai cara, termasuk penggunaan dron untuk intipan, pemberian MyKad kepada individu tertentu dan pertubuhan yang berhubung dengan jaringan luar negara.
Kenyataan ini menggambarkan keresahan awam yang mendalam dan menuntut tindakan strategik menyeluruh dari pihak berkuasa.
Adakah lima insiden terbaru ini kebetulan atau petanda awal kepada cabaran lebih besar? Apa pun jawapannya, negara tidak boleh bersikap tunggu dan lihat.
Antara langkah penting yang perlu dipertimbangkan ialah memperketatkan saringan visa dan pas masuk, meningkatkan kawalan keselamatan siber dengan pasukan khas, menguatkuasakan pengawasan terhadap pertubuhan diasporik dan mengimbangi dasar pelaburan asing dengan kepentingan keselamatan nasional.
Malaysia adalah sebuah negara terbuka dan berdaulat yang menghargai pelaburan dan hubungan antarabangsa. Namun, keterbukaan tanpa kawalan ketat boleh membawa risiko besar kepada keselamatan awam dan integriti nasional.
Insiden-insiden yang berlaku harus menjadi cermin kepada dasar negara.
Kita bukan sahaja perlu menjadi tuan rumah yang ramah tetapi juga perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat terjamin.
Sudah tiba masanya dasar negara digerakkan dengan keseimbangan yang mantap antara peluang ekonomi dan perlindungan keselamatan rakyat demi masa hadapan Malaysia lebih selamat dan stabil.-UTUSAN
DR. MOHAMED RASHID AB. RAZAK
Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam,
Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)








