Pergi sekolah bukan untuk membuli

Pergi sekolah bukan untuk membuli

BERI didikan nilai moral yang tinggi kepada anak-anak beserta dengan kefahaman ilmu keagamaan sejak peringkat pra-sekolah hingga sekolah rendah lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA menyokong penuh langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha menangani isu buli para pelajar di sekolah-sekolah di negara ini.

Sememangnya isu buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja melibatkan tekanan emosi dan mental mereka yang menjadi mangsa, malah hingga boleh membawa maut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini memberitahu, KPM sedang menggubal semula peraturan pendidikan berkaitan disiplin murid di bawah Akta Pendidikan 1996 bagi mengekang isu buli di sekolah.

Fadhlina berkata, KPM akan mengambil tindakan tegas terhadap pentadbir, guru, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), yang didapati melindungi kes-kes buli.

Saya juga ingin menyarankan agar peranan menangani isu buli dalam kalangan para pelajar perlu juga melibatkan bersama kalangan ibu bapa.

Setiap ibu bapa wajar memberi didikan nilai moral yang tinggi kepada anak-anak mereka beserta dengan kefahaman ilmu keagamaan sejak peringkat pra-sekolah hingga sekolah rendah lagi.

Apabila amalan itu tertanam sepenuhnya dalam hati anak-anak berkenaan, sudah tentu mereka akan menjadi pelajar bermaruah dan bermoral apabila memasuki pengajian peringkat menengah dan seterusnya.

Dengan memahami erti sebenar kemanusiaan dan mengerti sepenuhnya kesalahan menyakiti orang lain, wujudlah suasana harmoni dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah tersebut.

Ibu bapa juga perlu memberi kesedaran kepada anak-anak mereka yang memasuki pengajian menengah terutama sekolah berasrama, kehadiran mereka ke sekolah bukan untuk membuli, tetapi untuk mengaji.

Tiada siapa yang akan menggelar mereka jaguh kerana keberanian membuli rakan, sebaliknya masa depan mereka sendiri akan terus gelap jika diambil tindakan oleh pihak polis atau pentadbir sekolah. – UTUSAN

RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN