HARI ini, cabaran kepada erti merdeka datang dalam bentuk baharu yang lebih halus tetapi berbahaya — budaya buli dan provokasi. Kedua-duanya adalah racun yang, jika dibiarkan berakar, mampu melemahkan masyarakat dan menghakis asas keharmonian negara.
Buli, sama ada secara fizikal, emosi, verbal atau siber, adalah satu bentuk penjajahan jiwa. Ia merampas maruah, memadam keyakinan diri dan menanam rasa takut yang mendalam kepada mangsanya.
Lebih membimbangkan, budaya ini sering berakar dalam persekitaran yang sepatutnya menjadi tempat membina sahsiah di sekolah, asrama, atau kumpulan rakan sebaya.
Apabila buli dianggap norma, kita sebenarnya membenarkan penjajahan bentuk baharu berlaku di tanah air yang kita banggakan sebagai merdeka.
Provokasi pula membawa ancaman yang lebih luas. Ia hadir dalam bentuk kata-kata berbaur kebencian, fitnah, sindiran berniat jahat atau tindakan yang sengaja mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Dalam era media sosial, provokasi boleh merebak sepantas kilat, mencetuskan perbalahan dalam sekelip mata. Kebebasan bersuara yang disalahgunakan untuk membakar sentimen hanya akan memecah-belahkan rakyat.
Merdeka bukan lesen untuk berkata sesuka hati, tetapi amanah untuk menggunakan suara demi membina, bukan memusnahkan.
Di sinilah letaknya peranan pendidikan nilai. Ia bukan sekadar kandungan dalam subjek moral atau Pendidikan Islam, tetapi suatu proses pembentukan akhlak yang berlaku setiap hari di sekolah, di rumah dan dalam masyarakat.
Nilai seperti hormat-menghormati, empati, keadilan dan tanggungjawab adalah perisai moral yang melindungi rakyat daripada terjerumus ke dalam kancah kebencian dan kezaliman.
Namun, pendidikan nilai bukan tugas sekolah semata-mata. Ia memerlukan teladan daripada ibu bapa, ketegasan pihak berkuasa, serta kesedaran masyarakat untuk menolak segala bentuk penindasan dan provokasi.
Setiap individu memegang peranan penting. Apabila kita membiarkan perlakuan buli atau provokasi berlalu tanpa teguran, kita sebenarnya menjadi sebahagian daripada masalah. Sebaliknya, apabila kita berani menegur, membantu mangsa atau menolak untuk menyebarkan berita palsu, kita sedang menghidupkan roh kemerdekaan dalam tindakan kita.
Negara boleh sahaja kekal merdeka di atas peta dunia, tetapi jika rakyatnya terjajah oleh sikap tidak peduli, budaya buli dan hasutan provokasi, maka kemerdekaan itu hanyalah pada nama. Hakikatnya, penjajahan yang paling berbahaya adalah penjajahan minda dan hati.
Kita harus menilai semula bagaimana nilai-nilai murni diterapkan dalam kehidupan seharian. Kita harus memastikan bahawa anak-anak kita membesar dalam persekitaran yang selamat, bebas daripada ancaman buli, dan dilindungi daripada provokasi yang memecah-belahkan.
Hanya dengan itu, mereka akan memahami bahawa merdeka adalah hak untuk hidup dalam keamanan, saling menghormati dan bekerja bersama membina negara.
Erti kemerdekaan yang sebenar adalah kebebasan daripada sebarang bentuk penindasan, sama ada datang dari luar atau daripada sesama rakyat.
Apabila setiap individu dalam negara ini bebas untuk bersuara dengan bertanggungjawab, bebas untuk hidup tanpa rasa takut dan bebas untuk mengejar impian tanpa dihalang kebencian, barulah laungan “Merdeka!” membawa makna yang sejati.
Merdeka bukan sekadar gema di udara pada 31 Ogos, tetapi nadi yang berdegup dalam hati setiap rakyat Malaysia, setiap hari. – UTUSAN
DR. NIK MUHAMMAD HANIS NEK RAKAMI
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian
Pendidikan Fakulti Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)










