MALAYSIA baru sahaja menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68. Seperti biasa, Jalur Gemilang berkibar megah dan program Bulan Kebangsaan berlangsung meriah sejak awal Ogos. Namun, sambutan kali ini hadir dalam suasana mencabar daripada tekanan kos sara hidup, demonstrasi jalanan, hinggalah kontroversi politik melibatkan institusi negara.
Dalam keadaan ini, ramai menyedari Rukun Negara, yang diisytiharkan selepas tragedi 13 Mei 1969, kekal relevan sebagai panduan ke arah kestabilan dan perpaduan nasional. Lima prinsip yang dirangka oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada 1970 bukan sekadar slogan tetapi asas kepada identiti kebangsaan.
Kepercayaan kepada Tuhan merupakan prinsip pertama. Malaysia, walaupun sebuah negara majmuk, menekankan pentingnya nilai moral dalam kehidupan rakyat. Dalam era digital, fitnah, buli siber dan kandungan tidak bermoral semakin menular. Kepercayaan kepada Tuhan sepatutnya membimbing rakyat untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan, baik secara nyata mahupun dalam talian.
Kesetiaan kepada Raja dan Negara pula mengingatkan kita bahawa institusi diraja ialah simbol perpaduan. Namun, politik negara sering digugat oleh isu 3R (kaum, agama, raja). Dalam masa sama, Keluhuran Perlembagaan harus dihormati.
Kontroversi pelantikan kehakiman pada 2025 membuktikan rakyat semakin sedar undang-undang tertinggi negara tidak boleh dipertikaikan sewenang-wenangnya.
Kedaulatan Undang-Undang pula menegaskan tiada siapa boleh mengatasi undang-undang. Pelaksanaan Akta Media Malaysia dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 bertujuan menangani cabaran digital seperti berita palsu dan hasutan, namun penguatkuasaannya perlu seimbang agar tidak menindas kebebasan bersuara.
Kesopanan dan Kesusilaan, amat penting dalam landskap media sosial hari ini. Bahasa kesat, sindiran kasar dan kecaman melampau semakin menjadi norma. Sebagai pensyarah, saya melihat pelajar lebih terpengaruh dengan maklumat dari media sosial yang tidak ditapis, malah gaya bahasa mereka juga semakin jauh daripada nilai kesantunan. Justeru, usaha memupuk adab harus bermula di rumah dan diperluas melalui pendidikan serta program masyarakat.
Jika setiap prinsip ini dihayati dalam tindakan, bukan sekadar diucap di bibir, Malaysia pasti kekal sebagai negara yang berdaulat, merdeka dan bermaruah.-UTUSAN
DR. MAZITA MOKHTAR
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Industri,
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)










