KAJIAN Indeks Belia Malaysia 2023 menunjukkan penurunan penyertaan belia dalam aktiviti politik dan kebangsaan. Namun, fenomena ini bukan tanda berkurangnya rasa cinta negara, sebaliknya mencerminkan tafsiran baharu yang memanifestasi patriotisme melalui tindakan nyata seperti keadilan sosial, kelestarian alam sekitar dan advokasi hak komuniti.
Generasi muda kini lebih cenderung menyumbang melalui projek komuniti, kesukarelawanan, serta inisiatif digital yang mengangkat kepelbagaian budaya Malaysia.
KESUKARELAWANAN
Belia disaran untuk bergerak aktif dalam aktiviti gotong-royong, program kebajikan, bimbingan pendidikan serta sokongan kepada perniagaan tempatan menjadi platform utama belia menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Projek seperti KidzREAD, Kelab Gemilang, Rakan Muda dan inisiatif SDG memberi peluang kepada belia meningkatkan kemahiran, membina empati dan memacu pembangunan komuniti.
KEWARGANEGARAAN DIGITAL
Belia memanfaatkan media sosial seperti TikTok bukan sahaja untuk hiburan, tetapi sebagai medan menyebar mesej positif, melawan berita palsu dan mempromosikan warisan budaya Malaysia. Pendekatan ini membantu membina naratif kebangsaan yang lebih inklusif dan mengukuhkan keharmonian dalam kepelbagaian.
WARISAN DAN IDENTITI
Penglibatan aktif dalam perayaan hari kebangsaan, lawatan ke tapak bersejarah seperti Dataran Merdeka dan Kota A Famosa, serta promosi seni dan makanan tempatan memperdalam rasa bangga terhadap identiti Malaysia. Aktiviti ini menghubungkan generasi muda dengan perjuangan kemerdekaan dan nilai budaya yang membentuk negara. Ramai anak muda merasakan dengan warisan dan budaya melalui kaedah ini dengan mengadaptasi dokumentasi secara digital mengenai pengalaman mereka mengunjungi dan menerokai lokasi bersejarah ini.
KEPIMPINAN DAN TANGGUNGJAWAB
Penyertaan belia dalam program kepimpinan, kelab debat dan cabaran inovasi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin masa depan. Inisiatif ini membina pemikiran kritis, keupayaan menyelesaikan masalah dan kesedaran sivik.
PENDIDIKAN SEBAGAI TERAS
Sekolah dan institusi pendidikan memainkan peranan penting menanam nilai patriotisme melalui integrasi sejarah negara, pendidikan sivik dan budaya dalam kurikulum. Pendekatan ini memastikan pelajar memahami bukan sekadar kisah kejayaan, tetapi juga cabaran dan pengorbanan yang membentuk Malaysia hari ini.
Pendidik di pelbagai peringkat turut digalakkan menjadi teladan dengan menggalakkan nyanyian lagu patriotik, menghuraikan makna Rukun Negara dan menghubungkan pelajar dengan pemimpin komuniti bagi menanam rasa kebanggaan dan tanggungjawab kepada negara.
Ketika Malaysia melangkah ke arah masa depan, belia adalah nadi pembentukan negara. Tema “Malaysia Madani Rakyat Disantuni” bukan sekadar slogan, tetapi iltizam belia menzahirkan cinta tanah air melalui tindakan berkesan dan lebih inklusif melalui kerja komuniti, advokasi digital, penghayatan warisan hingga kepimpinan sivik.
Dengan menyokong dan memperkasa belia, masyarakat Malaysia dapat memastikan semangat patriotisme terus subur, seterusnya membawa negara ke arah masa depan yang lebih adil, makmur dan bersatu.
Dengan memperkasa belia melalui pendidikan, peluang kepimpinan dan ruang berkarya, Malaysia mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja bangga mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi juga berani memimpin perubahan. Masa depan negara akan lebih cerah apabila setiap anak muda melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada solusi, bukan sekadar pemerhati. – UTUSAN
DR. MASTURA MAHAMED
Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi Fakulti
Bahasa Moden dan Komunikasi UPM











