Tingkat minat, bakat belia dalam bidang sains dan teknologi

Tingkat minat, bakat belia dalam bidang sains dan teknologi

PUPUK budaya sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan generasi muda, seiring aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROGRAM Malaysia Techlympics 2025 diteruskan dengan penganjuran peringkat Zon Selatan yang berlangsung selama dua hari bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Ledang, Johor. Program ini merupakan inisiatif berterusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Melaka.

Malaysia Techlympics merupakan antara usaha utama MOSTI dalam memupuk budaya Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan generasi muda, seiring aspirasi Malaysia ke arah menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Penganjuran peringkat Zon Selatan kali ini mencatatkan penyertaan lebih 2,000 orang peserta daripada 120 buah sekolah di Johor dan Melaka. Para peserta bersaing dalam pelbagai pertandingan teknologi, menyertai bengkel interaktif serta aktiviti hands-on yang melibatkan bidang teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi dron, pengaturcaraan, robotik, pengkomputeran awan dan internet pelbagai benda (IoT).

Malaysia Techlympics 2025 turut melaksanakan Program Jangkauan Keterangkuman (Outreach). Inisiatif ini memastikan pelajar luar bandar dan komuniti kurang terdedah turut mendapat akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) secara langsung. Seramai lebih 1,500 pelajar dan 1,000 orang guru dari Zon Selatan telah terlibat secara aktif dalam program ini termasuk latihan pelatih (ToT) secara fizikal dan dalam talian.

MOSTI menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Kerajaan Negeri Johor dan Melaka, Jabatan Pendidikan Negeri, institusi pengajian tinggi, agensi teknikal, industri serta para guru dan pelajar yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini.

Malaysia Techlympics bukan sekadar satu pertandingan, tetapi merupakan sebuah platform strategik untuk membina bakat masa depan negara, menyemai minat terhadap STI serta menerapkan kemahiran dan pengetahuan yang relevan bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan seterusnya.

Malaysia Techlympics 2025 akan diteruskan di zon-zon lain di seluruh negara sehingga November 2025 secara fizikal dan digital dari seluruh pelosok negara. – UTUSAN

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×