DALAM tempoh yang singkat baru-baru ini, dua insiden buli yang tular telah mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat termasuk kematian tragis seorang pelajar perempuan yang ditemui koma di asrama sekolah, serta satu lagi kes melibatkan pelajar senior yang membuli secara fizikal.
Ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah menyaksikan kecederaan serius dan trauma yang tidak sepatutnya berlaku dalam sistem pendidikan negara.
Justeru itu, pendekatan menyeluruh dan sistematik perlu segera diambil bagi menangani isu buli secara berkesan. Antara cadangan yang ingin dikemukakan:
Polisi Anti-Buli
Kementerian Pendidikan perlu memastikan semua sekolah mempunyai dasar anti-buli yang jelas, disampaikan dengan berkesan kepada seluruh warga sekolah dan dilaksanakan tanpa kompromi.
Latihan dan Intervensi
Guru, kaunselor dan staf perlu diberikan latihan berkala untuk mengesan tanda-tanda awal buli, mengurus kes buli secara profesional, serta memberi sokongan kepada mangsa dan pelaku untuk pemulihan.
Guru besar juga memainkan peranan penting dalam membentuk budaya sekolah yang selamat dan tegas terhadap buli. Kepimpinan yang peka dan bertindak akan memberi mesej: Buli tidak akan diterima.
Libatkan ibu bapa dan komuniti
Pendidikan mengenai empati, keberanian moral dan tanggungjawab sosial perlu melibatkan ibu bapa serta komuniti setempat agar mesej pencegahan buli tidak terhenti di dalam pagar sekolah semata-mata.
Bertindak, bukan sekadar memerhati
Pendidikan awam harus memfokuskan kepada membentuk masyarakat yang berani menegur, melaporkan dan membantu menghentikan perbuatan buli bukan yang sekadar memerhati.
Mangsa tidak boleh dibiarkan bersendirian menanggung penderitaan. Kita perlu membina budaya yang menyokong keberanian untuk bersuara dan bertindak demi melindungi mangsa.
Namun, dalam menggalakkan keberanian ini, penting untuk diwujudkan mekanisme yang melindungi individu yang tampil bersuara. Ramai memilih untuk berdiam diri bukan kerana tidak peduli, tetapi kerana takut menjadi sasaran seterusnya atau dibalas secara sosial mahupun emosi.
Kita perlu membina budaya yang menyokong keberanian untuk bersuara dengan selamat, serta memastikan sistem sokongan sedia ada tidak membiarkan yang membantu menjadi mangsa pula. Keberanian mesti dilindungi, bukan dihukum.
Kerjasama strategik
Kerjasama strategik antara kementerian berkaitan, Polis Diraja Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkukuh bagi merangka langkah pencegahan dan intervensi yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Menangani budaya buli memerlukan keberanian moral, ketegasan dasar serta penglibatan aktif semua pihak.
Ia bukan sekadar tanggungjawab sekolah atau mangsa, ia adalah tanggungjawab bersama untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, berempati dan menyokong demi masa depan generasi muda kita.
Hentikan buli. Beranikan diri untuk bersuara. – UTUSAN
NURHAKIMAH MOHAMUD
Timbalan Ketua Wanita IKRAM Malaysia
Jawatankuasa Advokasi Kanak-kanak










