Tambah baik pengurusan haji, umrah di Tanah Suci

Tambah baik pengurusan haji, umrah di Tanah Suci

KERAJAAN perlu meningkatkan penyeliaan dan kawalan untuk urusan haji dan umrah, agar masalah tidak berulang lagi pada tahun hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERAKHIRNYA musim ibadah haji baru-baru ini membawa dua perkhabaran suka dan duka kepada kita semua, hingga mengundang pelbagai reaksi dalam masyarakat kita.

Pertama, khabar gembira apabila Tabung Haji kita menerima anugerah tertinggi Kerajaan Arab Saudi atas kecemerlangan pengurusan haji dan anugerah ini merupakan kali ke empat berturut-turut diterima. Tahniah Tabung Haji.

Kedua, kita dipaparkan kes jemaah haji yang terkandas lalu gagal menunaikan ibadah haji. Seramai 47 jemaah kita gagal menunaikan haji seperti dijanjikan walaupun telah membayar sejumlah wang.

Lebih memilukan, mereka dipaksa berjalan kaki dari Jeddah ke Mekah menempuh padang pasir dan bukit bukau. Setibanya di Mekah, mereka dikurung di bilik yang sempit dan makan pula dikongsi seorang sedikit.

Mereka ditahan pihak berkuasa Arab Saudi semasa hendak ke padang Arafah dan hanya rekod baik Tabung Haji sahaja menyebabkan mereka tidak ditahan dan hanya diminta kembali ke tanah air.

Ada satu kumpulan lain pula, dari Sabah, juga gagal ke padang Arafah dan terpaksa kembali ke Mekah. Di hotel Mekah, jemaah itu dipakaikan jubah dan serban, seolah-olah telah dapat menyempurnakan haji.

Kes di atas tidak termasuk 82 jemaah yang terkandas di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk seorang bekas penyanyi terkenal. Atau banyak lagi kes yang tidak dilaporkan oleh jemaah kerana pelbagai faktor.

Dengan pelbagai isu yang terjadi, pihak kerajaan perlu meningkatkan penyeliaan dan kawalan untuk urusan haji dan umrah, agar masalah tidak berulang lagi pada tahun hadapan.

Menggantung permit syarikat pengendali umrah tidak mencukupi sebab para penipu itu menggunakan nama madrasah atau individu tertentu, yang menawarkan pakej mujamalah atau furada, yang kemudian dikesan sebagai visa pelancong.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) perlu mewujudkan pasukan petugas khas dengan nombor talian untuk menerima aduan dan pertanyaan daripada para jemaah.

Hal yang sama juga sepatutnya diadakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam menangani isu-isu sedemikian. Kewujudan Tribunal Tuntutan Pengguna belum mencukupi kerana sering kali mangsa tidak dapat pampasan yang sebenar.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membuat siasatan rapi dan menyerahkan hasil siasatan kepada pihak pendakwa raya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap para penipu.

Terdapat juga situasi tokoh agama dipergunakan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan pakej khas haji, yang kemudian didapati gagal melaksanakan segala janji mereka.

Institusi agama seperti masjid dan surau perlu menyedarkan orang ramai supaya jangan mudah terpengaruh dengan janji pihak tertentu. Siasat betul-betul sebelum menyerahkan sejumlah wang kepada mereka.

Harus diingat, peraturan dan undang-undang penguatkuasaan di Arab Saudi jauh lebih ketat dari dahulu. Jika dahulu, bolehlah pihak tertentu melakukan pelbagai cara untuk melaksanakan ibadah haji tanpa dapat dikesan.

Bagi kerajaan Malaysia, usaha untuk menambah kuota jemaah 31,600 jemaah perlu diteruskan. Gunakan hubungan baik kita dengan Arab Saudi bagi memperjuangkan isu ini.

Bayangkan jika mendaftar haji pada tahun ini, dapat giliran haji dianggarkan pada tahun 2183, bermakna 158 tahun dari sekarang – sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN