Minggu orientasi bukan sia-sia

Minggu orientasi bukan sia-sia

SEMUA aktiviti yang disusun dalam minggu orientasi memastikan pelajar bersedia beradaptasi dengan suasana dan tempat baharu sebelum memulakan pengajian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI kelaziman, kemasukan pelajar baharu di institusi pendidikan dalam negara sama ada di peringkat sekolah mahupun universiti akan dimulakan dengan minggu orientasi. Di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), minggu orientasi yang dikenali sebagai Minggu Suai Kenal Pelajar.

Minggu yang padat dengan pelbagai aktiviti ini seringkali membawa pengalaman bercampur-baur buat para pelajar.

Saban tahun saya terlibat dalam jawatankuasa yang mengendalikan minggu orientasi.

Segala aktiviti yang disusun bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia, baik dari segi fizikal mahupun mental, serta dapat beradaptasi dengan suasana dan tempat baharu sebelum memulakan pengajian. Kelelahan yang dirasai bukan kerana keletihan disebabkan jadual aktiviti yang padat semata-mata tetapi turut dipengaruhi kepenatan minda yang sedang belajar menyesuaikan diri.

Dalam kesibukan menghadiri sesi demi sesi, pelajar sebenarnya sedang menelusuri kampus yang akan menjadi medan perjuangan akademik. Mereka tidak hanya mengenal tempat tetapi juga watak-watak penting yang menjadi tunjang utama universiti dan PASUM.

Barisan pengurusan universiti dan PASUM serta pensyarah tampil bukan sekadar memperkenalkan diri tetapi juga menyampaikan amanah, aspirasi dan harapan institusi kepada pelajar baharu.

Alumni PASUM pula hadir berkongsi pengalaman bercerita tentang strategi pembelajaran, cabaran, mengurus masa antara akademik, aktiviti dan urusan peribadi menjadi panduan yang dekat dengan jiwa pelajar.

Justeru, nasihat yang lahir bukan hanya sampai ke telinga, tetapi meresap ke hati. Cerita tentang masa hadapan turut menjengah dalam bentuk yang lebih besar apabila tokoh korporat dari dunia luar kampus tampil berkongsi. Pengalaman mereka mendaki tangga kejayaan mengajak pelajar melihat lebih jauh daripada keputusan peperiksaan. Ia mengingatkan nilai seorang pelajar bukan semata-mata terletak pada akademik tetapi juga kebolehan berfikir, kecekapan berkomunikasi dan kekuatan jati diri.

Orientasi menjadi latihan awal tubuh yang letih dan minda yang diasak. Segalanya tidak berlaku sia-sia, sebaliknya membina ketahanan dan kekuatan sejak mula. Dan apabila pelajar mula melangkah ke minggu kuliah, mereka mungkin tidak menyedari telah pun berubah. Daripada sekadar orang baharu yang tercari-cari arah, pelajar kini lebih bersedia, bukan hanya tahu ke mana harus pergi tetapi juga tahu siapa diri mereka dalam dunia baharu ini.-UTUSAN

CHE MOHD FARHAN CHE MAT DUSUKI
Pusat Asasi Sains,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN