Literasi kewangan: ‘Senjata’ baharu untuk pahlawan negara

Literasi kewangan: ‘Senjata’ baharu untuk pahlawan negara

SUDAH tiba masanya negara melihat literasi kewangan sebagai hak dan keperluan asas untuk setiap anggota keselamatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU kajian dijalankan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) pada 2024 mendapati hampir 44 peratus anggota tentera, polis dan penguatkuasaan terpaksa meminjam hanya untuk memenuhi keperluan asas bulanan.

Ini selaras dengan sebuah tinjauan ke atas Golongan Dewasa Bekerja di Malaysia (MWA) pada 2018 yang memfokuskan tingkah laku kewangan dari segi perbelanjaan, simpanan dan pengurusan hutang yang mendapati pekerja dalam sektor pertanian, tentera, polis dan penguatkuasaan mencatatkan skor kesejahteraan kewangan antara yang terendah selain merupakan kumpulan paling terdedah.

Ramai dalam kalangan ini didapati bergantung kepada pinjaman koperasi, kad kredit dan potongan gaji automatik untuk menampung kos sara hidup, terutamanya selepas bersara dari perkhidmatan.

Bank Negara pula melaporkan pinjaman bulanan pegawai awam termasuk pahlawan negara mencecah RM6.4 bilion (Disember 2024 dan Januari 2025), lebih tinggi daripada purata kebangsaan RM4.5 bilion. Ini mencerminkan ketergantungan berterusan kepada hutang, yang boleh menjadi bom jangka kepada kestabilan kewangan individu.

Huraian statistik ini mencerminkan tahap literasi kewangan dalam kalangan pahlawan negara masih rendah dan memerlukan perhatian segera.
AKPK juga melaporkan sejumlah besar pesara awam menghabiskan sebahagian besar wang ganjaran persaraan dalam tempoh lima tahun pertama kerana kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan asas.

Turut dikesalkan apabila terdapat laporan memetik sebilangan pesara pahlawan negara yang menjadi mangsa penipuan pelaburan, sindiket kewangan palsu atau terjebak dalam hutang akibat ketiadaan sokongan nasihat kewangan profesional.

Tanpa persediaan kewangan yang kukuh, ramai bekas tentera dan polis terpaksa bekerja semula di sektor keselamatan swasta demi menyara keluarga dan menjamin kelangsungan hidup. Keperluan ini mendesak mereka menerima tawaran kerja yang bergaji rendah dan tiada jaminan sosial mencukupi.

Hal ini berpotensi mendedahkan mereka sebagai golongan yang terpinggir dari arus pembangunan ekonomi, mudah dieksploitasi oleh majikan serta tekanan mental dan emosi akibat ketidakstabilan kewangan.

Kerana itu, anggota keselamatan negara wajar diberi latihan dalam literasi kewangan sejak awal perkhidmatan.

Pendidikan asas tentang pembinaan belanjawan, simpanan, pelaburan berhemah, perlindungan takaful dan pengurusan hutang seharusnya dijadikan modul wajib dalam latihan tentera dan polis.

Ini bukan sahaja melindungi mereka semasa berkhidmat, malah memastikan golongan ini mampu berdikari selepas bersara. Institusi seperti Koperasi Tentera dan Polis, Lembaga Tabung Angkatan Tentera bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) wajar berganding dengan AKPK bagi perlu memperkukuh peranan sebagai pemudah cara kewangan yang adil, bertanggungjawab dan bersifat mapan.

Penghargaan kepada pahlawan negara tidak sepatutnya hanya berbentuk upacara dan ucapan pada 31 Julai semata-mata. Ia perlu diterjemahkan dalam bentuk dasar dan tindakan yang melindungi kesejahteraan hidup mereka dan keluarga, termasuk dari segi kewangan.

Sudah tiba masanya negara melihat literasi kewangan sebagai hak dan keperluan asas untuk setiap anggota keselamatan. Ini bukan sahaja penting untuk kesejahteraan individu, malah menjamin kestabilan sosial dan ekonomi negara secara menyeluruh.-UTUSAN

DR. AHMAD FAWWAZ MOHD. NASARUDIN
Ketua, Jabatan Kewangan
Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×