MALAYSIA sering digambarkan sebagai “sebuah taman yang berwarna-warni”. Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya yang menjadikan negara ini unik serta menarik perhatian dunia. Namun, di sebalik keindahan itu, keharmonian tidak hadir dengan sendirinya. Ia memerlukan usaha, pengorbanan dan sikap saling menghormati di antara kaum agar ia kekal mekar.
Kadangkala isu perkauman dibangkitkan di media sosial atau terdapat salah faham tentang budaya tertentu. Jika tidak ditangani dengan bijak, ia boleh menjejaskan hubungan yang telah lama terbina. Oleh itu, penting untuk setiap lapisan masyarakat mengambil peranan. Guru-guru di sekolah berperanan dalam menanam nilai toleransi sejak awal, media perlu menyebarkan mesej yang positif, dan pemimpin pula harus menunjukkan teladan yang menyatukan, bukannya memecahbelahkan.
Hakikatnya, keharmonian bukan sekadar slogan di dinding atau kata-kata indah dalam ucapan rasmi. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan dengan menghormati jiran walaupun berbeza agama, membantu rakan sekerja tanpa mengira bangsa dan meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan. Apabila kita bersatu padu, barulah Malaysia dapat melangkah lebih jauh menghadapi cabaran dunia moden.
Kita beruntung kerana mewarisi sebuah negara yang damai dan harmoni hasil pengorbanan generasi terdahulu. Tanggungjawab kita kini ialah memastikan warisan ini terus dipelihara. Jika keharmonian terjaga, Malaysia bukan sahaja akan terus makmur, tetapi juga menjadi contoh negara majmuk yang berjaya di mata dunia.
Marilah kita bersama-sama melihat keharmonian sebagai tanggungjawab kolektif, bukan sekadar peranan pihak tertentu sahaja. Setiap senyuman yang kita berikan, setiap salam yang kita hulurkan dan setiap sikap toleransi yang kita amalkan merupakan benih kecil yang mampu menyuburkan keharmonian negara. Jika setiap rakyat mengambil langkah positif, maka Malaysia akan terus menjadi tanah air yang aman, makmur dan disegani dunia. – UTUSAN
WAN NORSYAFAWATI W. MUHAMAD RADZI
Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)










