Harimau Malaya perlu konsisten, usah tarik diri saat akhir

Harimau Malaya perlu konsisten, usah tarik diri saat akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH dikritik hebat kerana menarik diri daripada menyertai Piala Negara-Negara Persatuan Bola Sepak Asia Tengah (CAFA) 2025 baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akhirnya mengumumkan aksi persahabatan antarabangsa buat Harimau Malaya sebelum meneruskan saingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober dan Nepal pada 18 November depan sebelum berdepan Vietnam pada 31 Mac tahun depan.

Skuad kebangsaan dijadual berdepan Singapura yang berada di ranking ke-159 dunia pada 4 September, sebelum menentang Palestin (ranking ke-98) empat hari kemudian bagi aksi pemanas badan tersebut.

Biar apapun alasan yang diberikan, keputusan menarik diri daripada CAFA sememangnya mengejutkan ramai pihak, terutama penyokong tempatan yang melihat kejohanan itu sebagai peluang keemasan untuk meningkatkan pengalaman antarabangsa selepas tamatnya kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Entah di mana silapnya, secara tiba-tiba FAM membuat pusingan U dengan mengumumkan penarikan diri pada saat akhir daripada kejohanan tersebut yang mengundang kecaman banyak pihak. Alasan yang diberikan ialah perubahan terkini oleh CAFA terhadap tarikh penganjuran yang jatuh di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan. Namun CAFA tampil menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan tarikh berlaku dan FAM maklum mengenainya.

Situasi ini sedikit sebanyak boleh mengundang persepsi negatif terhadap revolusi Harimau Malaya selain menjejaskan hubungan dua hala di antara pasukan kebangsaan dengan CAFA pada masa akan datang. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend bagaimanapun menjelaskan bahawa pihaknya telah bekerjasama rapat dengan CAFA bagi membantu mengenal pasti pengganti yang sesuai selain memastikan hubungan baik Malaysia dengan komuniti bola sepak antarabangsa kekal terpelihara.

Apapun, rata-rata peminat bola sepak tanah air menyuarakan kekecewaan kerana tidak berpeluang menyaksikan skuad kebangsaan menguji tiga pasukan terkuat Asia Tengah iaitu Iran (ranking ke-18 dunia), Tajikistan (104) dan Afganistan (160) di kejohanan tersebut. Setidak-tidaknya mereka boleh menjadikan perlawanan-perlawanan tersebut sebagai penanda aras untuk menilai sejauh mana kemampuan sebenar skuad kebangsaan.

Apapun kini tumpuan terarah kepada perancangan dan persediaan FAM seterusnya selaras dengan cita-cita Peter Cklamovski yang ingin membawa Harimau Malaya menerajui kumpulan sekali gus layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 yang akan berlangsung di Arab Saudi.

Di atas kertas, Harimau Malaya dilihat tiada masalah untuk layak sekiranya berjaya mengekalkan momentum permainan seperti yang ditunjukkan ketika membenam Vietnam 4-0 Jun lalu. Malah skuad negara kini boleh dianggap sudah melangkah separuh kaki ke pentas Piala Asia 2027.

Dengan semangat baharu yang dibawa Cklamovski, peminat pastinya menanti dengan penuh harapan bukan sekadar layak, tetapi mahu mencipta sejarah baharu bola sepak negara.

Namun pada masa yang sama FAM diharap lebih konsisten dalam perancangan agar hala tuju pembangunan skuad kebangsaan tidak terjejas oleh keputusan kontroversi yang mengundang kritikan peminat. – UTUSAN

MOHD SALLEH OSMAN,
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×