SARANAN dan langkah kerajaan untuk mengehadkan pemilikan akaun media sosial kepada individu berumur 13 tahun ke atas adalah satu langkah progresif dan amat wajar dipandang serius oleh semua pihak terutama sekali ibu bapa.
Inisiatif ini bukan sekadar bertujuan mengawal akses kanak-kanak kepada dunia digital, tetapi juga berperanan dalam mendidik mereka menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab, beretika dan celik media.
Kanak-kanak terutamanya di bawah umur 13 tahun secara umumnya masih belum cukup matang pemikirannya untuk menilai baik buruk sesuatu perkara. Berada di fasa umur yang dianggap rapuh, mereka mudah dipengaruhi dan diambil kesempatan ke atasnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan media sosial tanpa kawalan.
Penetapan had umur secara tidak langsung memberi ruang kepada proses pembelajaran dan persediaan asas tentang keselamatan digital yang lebih sistematik melalui pendidikan di rumah dan sekolah.
Peranan Ibu Bapa
Penetapan had umur ini tidak akan bermakna sekiranya ibu bapa masih membenarkan anak mereka mencipta akaun dengan maklumat palsu atau mengabaikan aktiviti digital anak mereka.
Bantu anak-anak menggunakan media sosial supaya dapat mewujudkan aktiviti dalam talian yang seimbang. Ibu bapa juga seharusnya sentiasa memantau dengan teliti sikap anak-anak sepanjang mereka menggunakan media sosial. Ini membuka ruang lebih awal kepada ibu bapa mengenal pasti dan menangani sekiranya terdapat sebarang gangguan atau kesan negatif dari penggunaan media sosial.
Ini seharusnya membuka mata ibu bapa untuk menyemak semula sikap mereka terhadap penggunaan teknologi dalam kalangan anak-anak. Belum terlewat untuk ibu bapa tanya diri sendiri tujuan asal membenarkan anak-anak menggunakan telefon pintar atau memiliki akaun media sosial seawal usia.
Namun, penetapan had umur sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak disertai dengan program pendidikan literasi digital. Anak-anak yang menanti umur 13 tahun untuk memiliki akaun media sosial seharusnya dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran penggunaan yang selamat dan beretika sebelum mereka ke dunia digital.
Sekolah dan institusi pendidikan juga perlu memainkan peranan dalam mendidik pelajar tentang risiko dan tanggungjawab dalam talian. Modul keselamatan digital harus dimasukkan secara rasmi dalam kurikulum. Bengkel kesedaran secara berkala harus dianjurkan kepada ibu bapa dan kanak-kanak.
Ibu bapa sebagai penjaga utama anak-anak memikul tanggungjawab penting untuk mendidik, membimbing dan memastikan mereka celik teknologi secara bijak dan beretika.
Ini bukan soal menafikan hak anak-anak terhadap teknologi, tetapi soal memastikan mereka bersedia sebelum diberikan kunci untuk menjelajah dunia yang penuh cabaran ini. Langkah ini adalah satu pelaburan jangka panjang dalam membentuk generasi digital yang matang, bertanggungjawab dan selamat. – UTUSAN
DR. SITI NASARAH ISMAIL
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM
Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan










