SEPERTI sedia maklum, kadar caj pengebilan Tenaga Nasional Berhad (TNB) rumah berdasarkan kadar tarif baharu, bermula 1 Julai lalu. Jika bil semasa sekitar RM400, anda mungkin tidak akan melihat peningkatan dalam bil baharu.
Manakala, jika bil semasa melebihi jumlah itu, anda akan melihat caj yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, anda boleh mengurangkan bil anda dengan ketara jika memilih penggunaan luar puncak (ToU).
Cuba gunakan peralatan yang memakan kuasa berat semasa tempoh luar puncak untuk menikmati tarif yang lebih rendah. Ini mungkin termasuk pengecasan kenderaan elektrik (EV), menghidupkan pemanas air storan, unit penyaman udara, seterika dan sebagainya.
Di bawah skim Masa Penggunaan ToU baharu, waktu luar puncak dan waktu puncak adalah seperti berikut:
Isnin hingga Jumaat:
• Puncak: 2 petang hingga 10 malam (8 jam): Cuba kurangkan muatan pada masa ini.
• Luar Puncak: 10 malam hingga 2 petanga hari berikutnya (16 jam)
Sabtu dan Ahad:
• Luar Puncak: Sepanjang hari (24 jam).
Ini bermakna anda boleh menikmati kadar elektrik yang lebih rendah untuk kebanyakan hari-terutamanya semalaman dan pada hujung minggu, jika memilih skim ToU.
Skim ToU baharu tersedia kepada pelanggan kediaman mulai 1 Julai.
TNB sudah mengumumkan proses permohonan rasmi melalui laman web mereka (tnb.com.my), aplikasi myTNB, atau saluran perkhidmatan pelanggan. Jika mahu, anda juga boleh mengunjungi TNB.
Cadangan saya, kajilah bil elektrik anda untuk tiga bulan akan datang sebelum membuat keputusan untuk memohon Tarif Luar Puncak. Jika tiada kenaikan ketara dalam bil, kekalkan tarif semasa. –UTUSAN
NK SHERGILL
Jurutera elektrik Jalan Rahang,
Seremban, Negeri Sembilan










