Buli jadi barah jika tidak dibendung dengan segera

Buli jadi barah jika tidak dibendung dengan segera

PENGUATKUASAAN undang-undang, kempen kesedaran dan didikan agama amat penting bukan sahaja di sekolah, malah juga kepada orang ramai bagi membendung perbuatan buli ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR setiap hari terdapat kes buli yang berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Banyak kes buli yang dilaporkan oleh pihak media dan terdapat juga kes-kes buli yang tular dalam kalangan pengguna media sosial, sekali gus menarik perhatian ramai sejak akhir-akhir ini.

Menurut Kementerian Pendidikan, kes buli di sekolah mencatatkan rekod peningkatan, dengan lebih 6,000 kes direkodkan sehingga Oktober 2024. Namun demikian, kes buli ini juga boleh berlaku di mana-mana sahaja. Bukan sahaja di sekolah, buli boleh berlaku di tempat-tempat lain seperti universiti, tempat kerja, rumah malah juga juga tempat-tempat awam. Di samping itu, dengan adanya kecanggihan teknologi digital, budaya buli terus merebak di atas platform atas talian atau lebih dikenali sebagai buli siber.

Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2024, didapati bahawa 40 peratus daripada reponden kajian yang terdiri daripada belia universiti melaporkan pernah mengalami pengalaman dibuli dalam talian atau menjadi mangsa buli siber seterusnya memberi kesan negatif terhadap emosi mereka.

Antara punca utama yang mendorong berlakunya buli dalam kalangan masyarakat adalah pengaruh rakan sebaya. Tidak mengira umur, pembuli juga boleh mempengaruhi orang lain untuk melakukan perbuatan buli. Terdapat juga mereka yang terpengaruh dengan persekitaran khususnya media sosial, yang memudahkan pembuli melakukan perbuatan buli siber. Selain itu, sikap kurang perihatin dan kawalan ibu bapa dalam memberi didikan agama dan moral dalam kalangan anak-anak turut menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah gejala ini.

Kesan buli terhadap mangsa merangkumi aspek emosi, kesihatan mental, kecederaan fizikal malah lebih teruk boleh membawa kepada kematian. Ini kerana, mangsa sering mengalami tekanan perasaan, hilang keyakinan diri, trauma berpanjangan, kemurungan dan dalam sesetengah kes, kecederaan fizikal yang serius. Untuk menangani isu ini, sokongan moral daripada keluarga, rakan-rakan, komuniti dan pihak kaunseling sangat penting bagi membantu mangsa memulihkan semangat serta kembali berasa selamat.

Di samping itu juga, sistem aduan yang selamat, mudah diakses dan dirahsiakan perlu disediakan di sekolah, tempat kerja dan komuniti bagi memastikan mangsa berani melaporkan kejadian tanpa rasa takut dan terancam.

Penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran dan didikan agama amat penting bukan sahaja di sekolah, malah juga kepada orang ramai bagi membendung perbuatan buli ini. Langkah drastik kerajaan dalam menangani isu ini seharusnya dipuji, apabila kerajaan memperkenalkan pindaan Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750], yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali kepada pembuli. Pindaan akta yang mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari 2025 dan telah diwartakan pada 7 Mac 2025 ini adalah satu langkah yang sangat baik bagi membendung masalah ini terus merebak dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, garis panduan bagi menangani kes buli perlu diwujudkan bukan sahaja di sekolah, malah di universiti-universiti, tempat kerja dan lokasi lain supaya setiap pihak mempunyai rujukan yang jelas dalam mengambil tindakan pencegahan, melindungi mangsa, menghukum pembuli dengan adil, serta memastikan persekitaran yang selamat dan harmoni terpelihara. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD AHMAR ALI
Pensyarah Kanan,
Fakulti of Perniagaan & Komunikasi,
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×