Agama dicemuh di layar kita

Agama dicemuh di layar kita

SESETENGAH penggiat filem lebih memilih untuk mengabaikannya serta mengutamakan sensasi dan keuntungan yang sementara.-ILUSTRASI AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI perfileman merupakan salah satu cabang penting dalam dunia seni. Di samping menyajikan hiburan, karya-karya ini dapat menjadi wadah yang mencerminkan realiti sosial dan menjadi sebuah medium pendidikan dalam menyebarkan nilai-nilai terpuji.

Sebuah karya perfileman dianggap berkesan apabila berjaya membawakan mesej moral yang menyentuh hati. Impak yang diberikan mampu membentuk pemikiran masyarakat, mengubah persepsi seseorang terhadap sesuatu isu termasuk menjadi pencetus perubahan.

Karya-karya yang berkualiti ini juga dapat menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara jika mendapat sambutan oleh masyarakat dalam dan luar negara.

Menjadi peranan besar industri perfileman dalam menyampaikan mesej kemanusiaan dan kefahaman yang tepat antara budaya serta agama supaya kualiti karya kekal terjaga.

Kendatipun demikian, dalam keterujaan berkarya dengan mengangkat tema-tema besar termasuk agama, menjadi kebimbangan apabila hal-hal keagamaan dipaparkan secara sembarangan dan menyeleweng.

Kita sendiri dapat melihat beberapa karya filem terlalu memaksa penceritaan agama yang dikaitkan dengan amalan syirik. Sebahagian babak sengaja menggambarkan gangguan mistik yang teruk apabila solat sehingga menanam perasaan takut dalam diri masyarakat. Hattakan perkara tersebut mempengaruhi ibadah dengan sering membayangkan perkara yang menakutkan dan merasa gusar setiap kali ingin mendirikan solat.

Di sisi lain, adanya filem yang sering membawakan agama dalam konteks yang menyeleweng kepada orang awam. Antaranya mempamerkan sosok agamawan yang gila kepada perempuan dan membawakan hakikat yang salah tentang tasawuf. Lebih menyedihkan lagi apabila pengarah dan produser filem ini merupakan seorang Muslim, mereka sepatutnya lebih arif dan cekap dalam membawakan tema agama yang tepat kepada masyarakat.

Sesetengah penggiat filem pula lebih memilih untuk mengabaikannya serta mengutamakan sensasi dan keuntungan yang sementara.

Dalam konteks pembikinan filem dan penulisan skrip, memelihara kesucian agama Islam daripada digambarkan secara salah atau diperalat demi keuntungan semata-mata merupakan jihad yang tetap dipandang Allah.

Sebagai mahasiswa pengajian agama, saya tidak pernah menolak peranan filem sebagai ejen dakwah dan perubahan sosial. Namun, saya menyeru kepada semua yang terlibat dalam dunia seni khususnya produksi filem agar lebih kreatif menyampaikan dakwah tanpa mempermainkan sentimen agama.

Seni adalah ruang yang luas namun tidak pernah bebas daripada amanah dan tanggungjawab.

Bergurulah dengan ahli yang faqih, bekerjasamalah dengan para ilmuwan yang lebih memahami fiqh, tasawuf dan akidah. Lakukan rujukan agama yang lebih mendalam supaya mesej kebaikan dapat difahami secara terus dan mampu mengetuk hati-hati yang sesat supaya kembali mencari jalan-Nya.

Semoga dengan usaha dan jihad kecil kita dalam menjaga kesucian agama menjadi asbab memperoleh syurga tertinggi-Nya.-UTUSAN

NUR WARISYA ZAID
Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN