INSTITUT Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (INSAP) mengiktiraf kelulusan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna 2025 (RUUKP) oleh Dewan Rakyat sebagai kejayaan dalam usaha mengawal selia perniagaan serta perkhidmatan kredit pengguna Malaysia yang semakin berkembang termasuk segmen Beli Dulu, Bayar Kemudian (BNPL).
Pengenalan RUU ini mewujudkan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) khusus untuk mengawasi penyedia kredit yang sebelum ini tidak dikawal selia dan memperkukuhkan perlindungan pengguna adalah langkah positif.
Bagaimanapun, INSAP memberi amaran perundangan sahaja tidak akan menyelesaikan isu struktur yang mendorong rakyat Malaysia, terutamanya golongan belia dan pekerja tidak formal, terperangkap dalam kitaran hutang.
Tanpa reformasi ekonomi yang lebih luas, undang-undang ini mungkin secara tidak sengaja mengehadkan akses kredit untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang sudah bergelut dengan gaji statik, kos sara hidup tinggi dan penurunan penampan kewangan.
Sehingga Disember 2024, hutang isi rumah berjumlah RM1.63 trilion mewakili 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merupakan tertinggi di Asia Tenggara menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Ini menunjukkan pergantungan yang semakin meningkat pada kredit jangka pendek untuk menghadapi pendapatan tidak stabil dan perbelanjaan asas, terutamanya ketika ekonomi beralih daripada pekerjaan industri stabil kepada perkhidmatan lebih tidak menentu.
Pada masa sama, langkah fiskal baharu seperti rasionalisasi subsidi petrol dan pengembangan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) meningkatkan tekanan ke atas belanjawan isi rumah. INSAP memberi amaran meletakkan kos pematuhan baharu pada penyedia kredit secara tidak sengaja boleh menjadikan kredit lebih mahal atau tidak boleh diakses, terutamanya bagi kumpulan yang dimaksudkan untuk dilindungi undang-undang ini, iaitu golongan belia, pekerja gig dan isi rumah yang terpinggir secara kewangan.
INSAP juga menekankan kepentingan kejelasan institusi, kebebasan pengawalseliaan dan akauntabiliti untuk RUKKP. Untuk memastikan ketelusan dan kepercayaan awam, kerangka yang jelas perlu untuk mengatur pelantikan kepimpinan, skop kuasa dan penglibatan pemegang kepentingan.
Secara keseluruhan, INSAP menekankan sebarang reformasi ekosistem kredit mesti dipadankan dengan dasar struktur sebenar yang meningkatkan keselamatan pendapatan dan kualiti pekerjaan, mengawal kos barangan serta perkhidmatan penting selain meluaskan akses kepada pendidikan literasi kewangan hak pengguna.
RUKKP tidak boleh menjadi tampalan pengawalseliaan ke atas luka ekonomi yang lebih mendalam. Tanpa reformasi yang berani untuk menangani ketidaksamaan dan ketidakamanan ekonomi, rakyat akan terus meminjam hanya untuk terus hidup, tidak kira seberapa baik sistem ini dikawal.-UTUSAN
DATUK DR. PAMELA YONG
Pengerusi Institut Analisis Strategik
dan Penyelidikan Dasar (INSAP)










