Teknologi kewangan bantu generasi Y menyimpan untuk persaraan

Teknologi kewangan bantu generasi Y menyimpan untuk persaraan

TEKNOLOGI kewangan hadir sebagai penyelesaian moden yang mampu mengubah cara generasi Y menyimpan dan merancang untuk masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia yang serba digital hari ini, teknologi merevolusikan cara kita mengurus kewangan. Bagi Generasi Y (Gen Y) atau Milenial yang membesar dalam era internet dan telefon pintar, pendekatan tradisional terhadap simpanan dan persaraan mungkin kelihatan lapuk dan membosankan.
Namun begitu, hakikatnya ramai dalam kalangan Gen Y masih belum benar-benar bersedia untuk menghadapi fasa persaraan yang memerlukan perancangan jangka panjang dan disiplin kewangan yang kukuh.

Teknologi kewangan (fintech) hadir sebagai penyelesaian moden yang mampu mengubah cara golongan ini menyimpan dan merancang untuk masa hadapan. Dengan akses mudah melalui telefon pintar, aplikasi fintech kini menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan yang bukan sahaja efisien, tetapi juga mesra pengguna dan interaktif.

Beberapa contoh bagaimana teknologi kewangan membantu dalam perancangan persaraan:

Aplikasi simpanan mikro, pelaburan automatik
Aplikasi seperti Raiz, Touch ‘n Go GO+, dan StashAway membolehkan pengguna melabur jumlah kecil secara berkala, malah ada yang membundarkan baki pembelian untuk disimpan secara automatik. Konsep ini memudahkan Gen Y menyimpan tanpa perlu mengubah gaya hidup secara drastik.

Platform persaraan peribadi dalam talian
Skim Persaraan Swasta (PRS) boleh diakses melalui platform digital seperti PRSI dan Fundsupermart, membolehkan pengguna membuat caruman secara fleksibel dan memantau prestasi simpanan dalam masa nyata.

Aplikasi belanjawan, perancangan kewangan
Aplikasi seperti Money Lover, HelloGold, dan Mint membantu pengguna merekod perbelanjaan, menetapkan bajet bulanan dan mengenal pasti corak perbelanjaan yang tidak sihat. Fungsi ini penting untuk menyedarkan Gen Y tentang aliran wang dan bagaimana untuk mengoptimumkan simpanan.

Kandungan pendidikan kewangan digital
Selain itu, banyak aplikasi kewangan dilengkapi modul pembelajaran, video pendek dan simulasi pelaburan yang boleh meningkatkan tahap literasi kewangan.

Apa yang menjadikan fintech sangat serasi dengan Gen Y ialah kebolehsuaian teknologi ini terhadap gaya hidup moden. Antara kelebihannya termasuk:
– Akses pantas dan mudah: Semua urusan kewangan boleh dibuat secara digital, tanpa perlu ke kaunter atau menunggu giliran.
– Pengurusan automatik: Simpanan, pelaburan dan pembayaran boleh dijadualkan secara automatik agar lebih konsisten.
– Visualisasi matlamat: Banyak aplikasi membolehkan pengguna menetapkan matlamat kewangan dan memantau kemajuan secara visual, menjadikannya lebih menarik dan bermotivasi.
– Kos rendah: Pelaburan digital selalunya mengenakan yuran pengurusan yang lebih rendah berbanding pengurus dana konvensional.

Walaupun teknologi kewangan menawarkan banyak kelebihan, penggunaannya masih terhad oleh beberapa faktor. Antaranya ialah:
– Tahap literasi kewangan digital yang rendah: Ramai pengguna tidak memahami sepenuhnya fintech berfungsi.
– Kurang disiplin: Tanpa disiplin, matlamat simpanan tetap tidak akan tercapai.
– Isu keselamatan siber: Kebimbangan terhadap penipuan dalam talian dan kecurian data menjadi halangan kepada segelintir pengguna.

Oleh itu, penting untuk mendidik pengguna agar lebih bijak menggunakan teknologi kewangan dengan bertanggungjawab.-UTUSAN

JERINA IBRAHIM
Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN