KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) untuk menangguhkan prosiding pentaksiran ganti rugi yang perlu dibayar kerajaan berhubung nilai tanah Duta Enclave.
Hakim Roslan Mat Nor dalam penghakiman ringkasnya menyatakan, prosiding itu wajar diteruskan memandangkan kes berkenaan berlarutan sejak 2009 dan kini di peringkat akhir bagi pentaksiran ganti rugi seperti yang diperintahkan Mahkamah Rayuan.
Mahkamah juga perlu mengambil kira penangguhan akan menyebabkan prosiding berlarutan tanpa penyelesaian selain mengambil kira isu keadilan kepada kedua-dua pihak.
Susulan itu, Hakim Roslan mengekalkan tarikh pendengaran yang dijadualkan pada 14 dan 21 Ogos serta 21 September ini.
“Mahkamah juga perlu menimbang hujahan yang dikemukakan oleh pihak defendan (kerajaan) bahawa sekiranya penangguhan ini dibenarkan, ia akan menyebabkan prejudis kepada pihak defendan kerana Mahkamah Rayuan telah memerintahkan bahawa faedah dibayar pada kadar enam peratus dari 1956 hingga tarikh pampasan dibayar.
“Oleh itu, setelah mempertimbangkan alasan-alasan ringkas, mahkamah berpendapat permohonan untuk menggantung prosiding ini ditolak tanpa sebarang kos,” katanya.
Pada prosiding itu, kerajaan selaku defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan, manakala palintif Semantan diwakili peguam Janet Chai Pei Wing.
Penangguhan prosiding difailkan Semantan pada 18 Mei lalu bagi membolehkan syarikat itu memperoleh beberapa dokumen antaranya pelan pengambilan tanah antara tahun 1956 hingga 1960 untuk digunakan dalam menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan mengikut nilai pasaran pada tahun 1956.
Pada 13 November 2025, Mahkamah Persekutuan memutuskan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh dipertikai.
Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Lee Swee Seng ketika itu memutuskan Semantan layak mendapat ganti rugi bagi tanah yang telah diceroboh kerajaan.
Justeru, panel mengarahkan pihak-pihak terlibat mengemukakan jumlah ganti rugi yang wajar diterima atas tanah yang telah diceroboh berdasarkan nilai tanah pada tahun 1956.
Tanah terbabit yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.-UTUSAN










