Kes solar Rosmah ditangguh September ini

Kes solar Rosmah ditangguh September ini

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabi­tan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berkaitan kes rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion ditangguhkan ke September ini.

Rayuan yang tertangguh sejak 2022 itu sepatutnya dide­ngar selama tiga hari bermula semalam.

Pendengaran itu bagaimanapun ditangguhkan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli dan bersidang bersama-sama Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Hakim Muniandy Kannayappan sebulat suara membenarkan permohonan oleh peguam Jagjit Singh.

Terdahulu, Jagjit yang mewakili Rosmah memohon pe­nangguhan tersebut atas alasan terdapat semakan yang dikemukakan oleh pihaknya berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan Rosmah untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang mendengar dan mensabitkan beliau dalam kes rasuah itu.

“Pada 9 Oktober 2024, kami telah menulis kepada Presiden Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan rayuan kes rasuah ini ditangguhkan sehingga ra­yuan berhubung permohonan gugur hakim itu selesai.

“Pada 10 Oktober 2024, Pre­siden Mahkamah Rayuan telah membalas surat kami dan membenarkan agar rayuan kes ra­suah ini ditangguhkan sehingga rayuan berhubung permohonan gugur hakim selesai sepenuh­nya. Semakan terhadap permohonan gugur hakim itu akan didengar 29 Julai ini,” kata peguam itu.

Jagjit kemudian tiba-tiba menangis teresak-esak apabila mengemukakan alasan kedua permohonan penangguhan ter­sebut.

“Seperti yang panel maklum, peguam bersama, Datuk Akberdin Abdul Kader telah ditimpa tragedi baru-baru ini. Anak lelakinya, Adli Hakim, telah me­ninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Akberdin tidak ubah se­perti seorang adik bagi saya. Dia masih lagi dalam keadaan bersedih dan berduka serta berkabung atas pemergian anaknya. Seperti yang Yang Arif dapat lihat, semua dokumen rayuan ini disediakan olehnya tetapi beliau tidak dapat hadir ekoran tragedi yang berlaku.

“Saya perlukan bantuan peguam lain untuk membantu saya dalam rayuan ini. Saya perlukan dia (Akberdin),” kata Jagjit dalam keadaan sebak.

Anak Akberdin, Adli Hakim, 24, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), adalah antara tiga mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori simen di Kilometer 34, Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai memaklumkan mahkamah beliau mendapat arahan untuk membantah terhadap penangguhan tersebut.

“Arahan kami adalah untuk membantah terhadap penangguhan kerana kes telah tertangguh sejak 2022. Seperti yang Yang Arif nyatakan tadi, kes ini kes lama. Berhubung alasan berkait dengan Akberdeen, saya serahkan kepada budi bicara mahkamah,” kata pendakwa raya itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN