KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan pegangan saham oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlu dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus bagi memastikan kawalan strategik negara terus dipelihara.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau keputusan penjualan aset strategik MAHB pada masa hadapan wajib mendapatkan kelulusan daripada Jemaah Menteri secara telus.
Katanya, Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mewajibkan MAHB untuk menerbitkan Laporan Prestasi Operasi dan KPI Perkhidmatan secara berkala kepada umum bagi mengekalkan akauntabiliti awam walaupun status MAHB kini merupakan entiti swasta yang dinyahsenaraikan.
“MAHB diwajibkan mengemukakan laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi kepada Kementerian Kewangan (MOF),” katanya pada sidang akhbar di Parlimen semalam.
Langkah itu antara lapan syor utama yang dikemukakan untuk tindakan segera kerajaan dan agensi berkaitan bagi memastikan tadbir urus serta kedaulatan negara terus terpelihara, di samping mengekalkan agenda akauntabiliti awam pasca penyahsenaraian.
Mas Ermieyati berkata, laporan kemajuan fizikal dan laporan aliran tunai kewangan terperinci secara berkala bagi projek-projek berimpak tinggi seperti projek Aerotrain, Sistem Pengendalian Operasi dan pembesaran lapangan terbang bagi memastikan tiada kelewatan atau ketirisan kos.
“Selain itu, MAHB perlu memperkukuh kerjasama strategik yang bersepadu bersama agensi persekutuan utama termasuk MOF, MOT, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Komunikasi bagi menyelaraskan pelan ketersambungan industri penerbangan dan pembangunan hab ekonomi di sekeliling lapangan terbang.
“MOT dan CAAM mestilah mewajibkan MAHB untuk melibatkan pemegang taruh industri, terutamanya syarikat penerbangan tempatan dalam proses perancangan awal jangka panjang pembangunan infrastruktur bagi memastikan kemudahan yang dibina menepati keperluan operasi fizikal sebenar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghargai syor PAC berkenaan MAHB serta usaha berterusan memperkukuh ekosistem lapangan terbang negara.
Menurut beliau, syor PAC mengukuhkan lagi objektif utama yang menjadi asas kepada penswastaan MAHB, iaitu memperkukuh sektor penerbangan Malaysia menerusi peningkatan ketersambungan, penambahbaikan pengalaman penumpang serta memperkukuh daya saing lapangan terbang negara.-UTUSAN










