Takut ketinggalan satu fenomena yang membimbangkan

Takut ketinggalan satu fenomena yang membimbangkan

PENDEKATAN menyeluruh perlu diambil, terutamanya dalam kalangan remaja yang mudah terdedah kepada pengaruh media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Fenomena fear of missing out atau FOMO kini menjadi antara tekanan sosial terbesar era digital. Dalam dunia yang sentiasa terhubung, rasa takut ketinggalan daripada apa yang dilakukan atau dialami oleh orang lain boleh menyebabkan seseorang bertindak tanpa berfikir panjang. Istilah FOMO pertama kali diperkenalkan oleh Patrick J. McGinnis, seorang penulis dari Amerika Syarikat pada 2004, dan mula digunakan secara meluas sekitar 2010. Ia menggambarkan tekanan psikologi yang timbul apabila seseorang merasakan dirinya tercicir daripada pengalaman atau gaya hidup yang sedang dialami oleh orang lain, terutamanya seperti yang dipaparkan di media sosial.

Apa yang berlaku dalam otak kita ketika FOMO?
FOMO melibatkan bahagian otak seperti amigdala dan prefrontal cortex, yang memainkan peranan dalam pemprosesan emosi dan kawalan tingkah laku.

Apabila seseorang melihat orang lain melakukan sesuatu yang menyeronokkan, amigdala menghantar isyarat “ancaman sosial” menyatakan bahawa kita mungkin ditolak atau tercicir jika tidak turut serta. Isyarat ini boleh mengatasi pemikiran rasional, mendorong kepada tindakan impulsif seperti menyertai cabaran tular, membeli barangan tidak perlu, atau berkongsi kandungan yang menjatuhkan maruah sendiri semata-mata kerana takut ketinggalan. Dalam jangka masa panjang, FOMO yang tidak dikawal boleh menjejaskan kesihatan mental, termasuk gangguan tidur, keresahan dan kemurungan ringan.

Langkah Mengawal FOMO dalam Kalangan Remaja
Untuk mengawal kesan negatif FOMO, pendekatan menyeluruh perlu diambil, terutamanya dalam kalangan remaja yang mudah terdedah kepada pengaruh media sosial. Langkah pertama adalah dengan memberi kefahaman yang betul, bukan sekadar melarang. Remaja harus dididik tentang maksud sebenar kandungan yang mereka tonton atau kongsi di media sosial.

Diskusi terbuka antara ibu bapa, guru dan anak-anak sangat penting bagi membentuk pemikiran yang lebih kritis. Larangan tanpa penjelasan hanya mendorong mereka untuk mencari jawapan di tempat yang salah, sering kali daripada rakan sebaya atau sumber tidak sahih.

Selain itu, penting untuk memperkukuh jati diri dan nilai dalaman dalam diri remaja. Mereka perlu belajar untuk menghargai diri sendiri bukan berdasarkan bilangan likes atau penampilan luaran semata-mata, tetapi atas asas pencapaian, akhlak dan nilai murni. Dengan kekuatan dalaman yang utuh, remaja akan lebih yakin dengan identiti mereka dan tidak mudah terikut-ikut dengan gaya hidup yang tidak sesuai dengan nilai sebenar.

Seterusnya, keseimbangan dalam penggunaan teknologi juga perlu diwujudkan.

Kawalan masa skrin adalah langkah asas yang sangat berkesan. Ibu bapa dan pendidik boleh memainkan peranan dengan menetapkan had penggunaan peranti serta menggalakkan remaja untuk melibatkan diri dalam aktiviti fizikal, seni, kesukarelawanan atau interaksi sosial secara langsung.

Jangan Gadaikan Jati Diri untuk Trending
Trend datang dan pergi. Tetapi apabila kita terlalu mengejar keterlihatan sehingga menggadaikan prinsip, maruah dan akal sihat, itulah petanda FOMO sedang mengawal kita.

Garisan di atas kepala mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi ia melambangkan sesuatu yang jauh lebih dalam, betapa lemahnya sempadan antara kesedaran dan pengaruh. “Berfikirlah sebelum meniru. Kerana tidak semua yang tular itu wajar, dan tidak semua yang popular itu benar.” – UTUSAN

TS. DR. MOHAMAD HALIM
MOHAMAD SHARIFF
Pensyarah kanan (Neurosaintis)
Fakulti Sains Kesihatan
UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN