PERSATUAN Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia) bersama Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners) melahirkan kebimbangan serius terhadap peningkatan entiti tidak beretika yang mendakwa menyediakan perkhidmatan perhubungan awam (PR).
Mereka menarik minat pelanggan dengan janji sensasi seperti ‘liputan media terjamin’, ‘liputan tanpa belanja ribuan ringgit’ dan ‘visibiliti segera dalam masa 24 jam’. Dakwaan seperti ini jelas memesongkan makna sebenar dan prinsip teras PR.
Tindakan seperti ini tidak bertanggungjawab dan bakal mencemarkan industri. Ia memperkecilkan profesion yang dibina atas asas strategi, kepercayaan dan hubungan jangka panjang, di samping merendahkan nilai sebenar komunikasi beretika kepada sekadar gimik pemasaran berbayar. Lebih membimbangkan, ia boleh menjejaskan kredibiliti keseluruhan industri komunikasi di Malaysia.
Secara prinsip, tiada agensi PR yang beretika boleh memberi jaminan liputan media. Keputusan memberi liputan ditentukan oleh pengamal media, bukan oleh pengamal PR. Jaminan yang diberi untuk liputan media, boleh dianggap sebagai ‘manipulasi’ yang mencemar integriti media dan memperdaya pelanggan.
Kami turut kesal dengan agensi yang memberi sebut harga yuran retainer terlalu rendah dan tidak masuk akal, tetapi menjanjikan perkhidmatan ‘PR strategik’ bersama jaminan liputan.
PRCA Malaysia dan PRactitioners menggesa pelanggan, pihak media dan seluruh ekosistem komunikasi untuk lebih berwaspada. Bezakan antara PR yang sah dan gimik murahan yang menyamar sebagai khidmat strategik.
Kami juga menyeru pihak berkuasa dan badan profesional berkaitan untuk bersama-sama mempertahankan integriti dan maruah profesion ini. Sebagai pengamal yang diamanahkan untuk membentuk naratif dan persepsi, setiap pengamal PR harus memikul tanggungjawab dalam memelihara kepercayaan masyarakat. Tiada jalan pintas untuk membina reputasi. Tiada lorong ekspres untuk mencapai kredibiliti. Setiap pengamal harus bersatu menolak amalan tidak beretika ini, demi mempertahankan masa hadapan industri perhubungan awam di Malaysia.-UTUSAN
SYED ASMAAN
Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi Malaysia (PRCA Malaysia)










