MENJEJAK kaki ke menara gading merupakan fasa penting dalam kehidupan anak muda. Mereka akan melalui pengalaman bukan sahaja menimba ilmu tetapi nilai dan membentuk insan berdaya saing.
Dalam era pendidikan tinggi yang semakin dinamik, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berdepan pelbagai bentuk tugasan dan tanggungjawab.
Namun, di sebalik cabaran itu, tersembunyi peluang untuk membina daya tahan, kepimpinan dan kemahiran dunia sebenar, asalkan keseimbangan antara teori dan amali dijaga sebaiknya.
Keseimbangan tidak boleh diabaikan kerana pelajar bukan hanya perlu menguasai ilmu akademik tetapi menjaga kesihatan mental, emosi dan sosial. Apabila tugasan bertindan dan dijalankan serentak, ada risiko pelajar hanya menyiapkan kerja untuk memenuhi syarat, bukan untuk memperkayakan kefahaman. Ini bukan kelemahan pelajar tetapi isyarat ruang perlu diberikan untuk mengurus pembelajaran dengan lebih berkesan.
Di luar bilik kuliah, pelajar digalakkan menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum, program komuniti dan latihan industri. Ini semua memberi nilai tambah luar biasa menjadikan mereka pelajar holistik yang bukan hanya bijak dalam dewan peperiksaan tetapi juga matang menghadapi dunia sebenar. Aktiviti ini bukan beban tetapi jambatan kepada dunia profesional.
Pelajar juga perlu diberikan ilmu tentang pengurusan masa, keutamaan dan penjagaan diri. Ramai yang bersemangat untuk menyertai pelbagai program dan aktiviti, namun lupa had kemampuan diri. Menolak satu program bukan tanda kegagalan tetapi bukti kematangan dalam membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri.
Pihak pengurusan universiti pula boleh memainkan peranan lebih strategik dalam memastikan sistem penilaian tidak terlalu membebankan. Dengan perancangan yang lebih teliti seperti penyelarasan tarikh tugasan antara kursus dan fleksibiliti pelaksanaan pelajar dapat memberi fokus yang lebih mendalam kepada tugasan yang bersifat praktikal dan bermakna.
Malah, universiti yang menekankan keseimbangan ini akan melahirkan graduan lebih bersedia untuk dunia sebenar dari segi kemahiran insaniah, pengurusan tekanan dan keupayaan menyelesaikan masalah.
Kejayaan pelajar bukan sekadar memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif, (PNGK) yang tinggi. Ia juga merangkumi keupayaan untuk bekerja secara berpasukan, berfikir secara kritis, mengurus tekanan dengan bijak dan menjadi insan yang seimbang antara ilmu, nilai serta emosi.
Pendidikan tinggi harus menjadi ruang untuk membina kekuatan dalaman dan kemahiran sebenar, bukan sekadar tempat mengumpul sijil. Maka, penting untuk kita semua pelajar, pensyarah dan pentadbir berganding bahu membina persekitaran pembelajaran yang lestari dan menyeluruh.-UTUSAN
Nur Anis Balqis Mohd Noor & Dr. Afiqah Mior Kamarul
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










