PELAKSANAAN Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan 2025 berlangsung pada 6 Julai lalu di perairan Pasir Puteh dan Bachok. Bagi tahun ini, sebanyak 12 unit Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT) dilabuhkan.
Setiap tukun seberat 15 tan metrik dengan ukuran 2.6 meter (m) tinggi dan 2.5m lebar serta panjang, dibina menggunakan konkrit bertetulang mengikut spesifikasi teknikal yang mematuhi garis panduan Garis Panduan Penempatan Terumbu Buatan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Sebanyak RM1.68 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program tukun tiruan di Kelantan pada tahun 2025. Peruntukan ini merangkumi pelabuhan tukun di Tok Bali (RM200,000), Sungai Gali (RM200,000) serta melalui inisiatif khas Pemindahan Fiskal Ekologi(EFT) berjumlah RM1.28 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Sejak 2007, sebanyak 312 unit tukun tiruan pelbagai jenis dilabuhkan di perairan Kelantan meliputi daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, dengan jumlah peruntukan keseluruhan mencecah RM6.26 juta. Antara jenis tukun yang digunakan termasuk Tukun Dasar Lembut (TDL), Tukun Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda (TDL-PT), Tukun Rekreasi (TR) dan Tukun Keluli.
Pelaksanaan tukun tiruan merupakan strategi utama pemuliharaan marin yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan komuniti nelayan dan ekosistem laut. Program tukun tiruan bukan sahaja meningkatkan hasil perikanan tempatan, malah melindungi habitat marin daripada ancaman aktiviti penangkapan haram dan perubahan iklim.
Pelaburan strategik jangka panjang ini demi menjamin sekuriti makanan negara dan kelestarian sumber laut. Inisiatif ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14: Kehidupan dalam air), khususnya dalam usaha memulihara dan menggunakan secara lestari sumber lautan dan ekosistem marin.
Program tukun ini turut menyokong pembangunan agro pelancongan, aktiviti penyelidikan saintifik serta menjadi pemangkin kepada ekonomi komuniti pesisir pantai. Jabatan Perikanan komited untuk meneruskan program konservasi ini secara sistematik dan berfasa bagi memastikan sumber perikanan negara kekal mampan serta menyumbang kepada kesejahteraan rakyat dan pemeliharaan biodiversiti marin negara.-UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Perikanan










