DALAM dunia yang semakin maju dari sudut teknologi dan material, kita mendambakan kepimpinan yang bukan sahaja cekap mentadbir tetapi juga bertunjangkan nilai ketamadunan tinggi.
Namun, apa yang berlaku hari ini menunjukkan sebaliknya. Kita berhadapan krisis kepimpinan – bukan tiada individu yang memegang tampuk kuasa tetapi kerana yang memimpin kurang menjiwai makna sebenar tamadun dalam erti kata nilai, akhlak dan tanggungjawab sosial.
Kekurangan pemimpin bertamadun menyumbang pelbagai masalah masyarakat, termasuk keruntuhan moral, salah guna kuasa dan ketirisan amanah.
Pemimpin bertamadun memiliki kefahaman mendalam tentang sejarah, nilai kemanusiaan dan keadilan. Mereka bukan sekadar pentadbir dasar tetapi pembimbing akal dan budi masyarakat. Namun, sebahagian besar pemimpin lebih tertumpu retorik politik yang kosong daripada membina negara berasaskan prinsip kebenaran dan kebijaksanaan. Mereka terlalu ghairah mengejar populariti sehingga sanggup mengetepikan prinsip keadilan demi kelangsungan kuasa.
Indikator jelas tentang ketandusan pemimpin bertamadun ialah sikap terhadap kritikan dan suara rakyat. Pemimpin yang matang akan membuka ruang dialog dan menerima pandangan berbeza dengan hati terbuka. Namun kini, suara yang mengkritik dianggap musuh dan tindakan menutup mulut rakyat dijadikan strategi politik.
Bahkan, terdapat segelintir pemimpin yang sengaja mengapi-apikan isu perkauman demi kepentingan politik.
Pemimpin harus prihatin terhadap penderitaan rakyat dan tidak menjadikan kekayaan serta kedudukan sebagai alat untuk memperkayakan diri mahupun kroni.
Pemimpin bertamadun sentiasa mengutamakan amanah rakyat dan berjuang menegakkan integriti. Namun, kes-kes salah laku seolah-olah tidak pernah reda, sekali gus menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan.
Dalam konteks pentadbiran, pemimpin perlu mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang. Mereka akan memastikan keadilan sosial terlaksana dan setiap dasar yang digubal demi kesejahteraan rakyat, bukan untuk mengukuhkan cengkaman kuasa. Namun, kita sering menyaksikan bagaimana dasar-dasar yang dilaksanakan lebih bersifat kosmetik daripada menyentuh akar masalah sebenar rakyat.
Ketika rakyat memerlukan pemimpin yang tegas dan berwibawa dalam menghadapi krisis, kita pula dihidangkan dengan drama politik yang tidak berkesudahan. Perebutan kuasa, lompat parti dan politik wang membayangkan sebahagian pemimpin lebih mementingkan diri daripada kestabilan negara.
Penting juga untuk ditegaskan pemimpin mestilah menjadi contoh kepada rakyat dari segi tutur kata, tingkah laku dan keperibadian. Namun, masih ada pemimpin yang berbicara dengan kasar dan memaki di khalayak. Ini semua memalukan institusi kepimpinan dan merosakkan imej negara.
Mereka akan memimpin usaha menjaga alam sekitar dan merancang pembangunan yang seimbang. Mereka tidak akan membiarkan pembangunan rakus merosakkan hutan, sungai dan kampung tradisi semata-mata atas nama kemajuan.
Mereka juga menjaga tutur kata di media sosial. Rakyat memerhati setiap tindakan dan kata-kata pemimpin.
Apabila pemimpin gagal menjadi contoh yang baik, masyarakat akan turut kehilangan arah. Nilai sopan santun, saling menghormati dan semangat perpaduan akan terhakis kerana rakyat cenderung meniru tingkah laku pemimpin. Tidak hairanlah jika masyarakat hari ini semakin celaru, hilang hormat, dan lebih gemar bertelagah daripada bersatu.-UTUSAN
NADIA ABDUL RASHID
Alam Impian, Shah Alam










