Keunikan dialek Melayu terpinggir

Keunikan dialek Melayu terpinggir

KEPELBAGAIAN dialek perlu dipelihara dan diwarisi dalam kalangan generasi muda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEUNIKAN Malaysia tidak dapat dipisahkan dengan kepelbagaian dialek yang terbahagi kepada geografi dan sosial.

Terdapat perbezaan antara dialek Melayu dari segi fonetik, fonologi, morfem, sintaksis, kosa kata mahupun makna. Terdapat lebih daripada 14 dialek Melayu hanya di Semenanjung Malaysia. Dialek-dialek Melayu ini dapat dibezakan dengan sistem fonetik dan fonologi yang berbeza.

Sebagai contoh, makan (Johor) dan makang (Terengganu). Dari segi perbezaan kosa kata, contohnya, deme (Kelantan) dan awak (Johor). Dengan adanya perbezaan ini, maka dialek dapat dibahagikan terutamanya mengikut kawasan geografi, bersama dengan subdialek-subdialek lain. Pembahagian ini dapat dilihat daripada isoglos, iaitu garis pemisah antara dialek pada sesuatu kawasan.

Setiap dialek mencerminkan identiti dan nilai budaya, serta cara hidup masyarakat setempat. Setiap dialek menggambarkan latar belakang penuturnya.

Sehubungan itu, rasa ingin tahu pasti timbul, serta pembacaan dan pengkajian terhadap sejarah akan dilakukan. Selain itu, apabila penggunaan dialek meluas dalam kalangan penutur, maka ia dapat memelihara warisan budaya bagi setiap masyarakat setempat.

Oleh itu, identiti bagi setiap budaya serta masyarakat dapat dikekalkan melalui dialek kerana ia merupakan tradisi lisan yang patut dipelihara pada semua peringkat umur dan generasi.

Faktor seperti media, pendidikan, penghijrahan dan globalisasi menyebabkan penggunaan dialek dalam kalangan masyarakat Melayu semakin menipis. Pemupukan ibu bapa tentang penggunaan bahasa asing kepada anak-anak pula semakin meningkat.

Sebagai contoh, penggunaan bahasa asing yang dominan seperti bahasa Inggeris menyebabkan penggunaan dialek Melayu semakin pudar. Perkara ini juga tidak dapat lari dari persepsi negatif tentang penggunaan dialek yang kononnya tidak maju dan tidak sesuai digunakan dalam kalangan masyarakat masa kini.
Rentetan itu, penutur malu dan tidak mahu menggunakan dialek dalam pertuturan harian. Kandungan sosial media yang kurang mengetengahkan dialek-dialek Melayu dalam kalangan penuturnya menyebabkan penggunaan dialek tidak meluas.

Kepelbagaian dialek perlu dipelihara dan diwarisi dalam kalangan generasi muda. Hal ini kerana, dialek memainkan peranan dalam perwarisan identiti budaya dan sejarah bagi setiap penutur dialek. Dialek juga dapat memperluas penggunaan bahasa Melayu yang pelbagai dalam komunikasi.

Kewujudan dialek Melayu sebenarnya dapat membentuk masyarakat bertoleransi dan menghargai antara satu sama lain, serta meraikan perbezaan yang ada.

Pelestarian dialek dapat menyumbang juga kepada kelangsungan kajian dialek-dialek Melayu kepada pengkaji bahasa, sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat umum. Kepupusan dialek dapat dielakkan sekiranya pelestarian dialek dilaksanakan dengan segenap usaha daripada semua pihak.

Dialek Melayu perlu mekar dan terus hidup dalam kalangan penuturnya. Maka, langkah yang jitu dan usaha yang padu perlu dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Galakan masyarakat untuk bertutur dalam dialek Melayu perlu disokong tanpa stigma negatif. Terutamanya, peranan ibu bapa dalam mendidik anak dengan pertuturan dialek Melayu.

Pendokumentasian dalam apa jua bentuk media tentang dialek Melayu perlu giat dilakukan.

Penganjuran aktiviti kesenian berasaskan dialek merupakan antara inisiatif yang perlu disambut baik pada semua peringkat institusi pendidikan.

Penggunaan media dan teknologi juga tidak perlu diragui lagi untuk meluaskan pengetahuan dan kesedaran masyarakat tentang dialek Melayu.

Penggunaan media sosial seperti YouTube, TikTok atau audio siar merupakan alat yang pastinya membantu rakyat tentang adanya dialek-dialek Melayu bukan sahaja dialek Melayu di Semenanjung, malah di Sabah dan juga Sarawak. Bertitik tolak daripada langkah-langkah ini, dialek Melayu pastinya akan terus hidup tanpa diancam oleh kepupusan dialek pada masa hadapan.-UTUSAN

NOR ATHIRA MD. AMIN
Guru Bahasa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN